Di bandar Mysore, India, terdapat sebuah sekolah yang diubahsuai daripada 2 gerabak kereta api yang disambungkan. Para pendidik tempatan bekerjasama dengan Syarikat Kereta Api Barat Daya untuk membeli dan mengubah suai gerabak-gerabak yang telah dibuang. Gerabak ini pada dasarnya adalah kotak-kotak logam besar yang tidak boleh digunakan lagi, sehinggalah para pekerja memasang tangga, kipas angin, lampu dan meja. Mereka juga mengecat dinding dan menambahkan mural yang berwarna-warni di dalam dan di luar. Kini, seramai 60 pelajar menghadiri kelas di situ hasil daripada transformasi yang menakjubkan ini.
Sesuatu yang lebih menakjubkan akan terjadi apabila kita mengikuti perintah rasul Paulus, “Biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir” (Roma 12:2). Ketika kita membiarkan Roh Kudus melepaskan genggaman kita terhadap kebiasaan dunia ini, maka pemikiran dan sikap kita mula berubah. Kita akan menjadi orang yang penuh kasih, penuh harapan dan penuh kedamaian (8:6).
Hal lain turut berlaku. Meskipun proses transformasi ini berterusan dan sering kali melalui banyak perhentian, bahkan harus berangkat dari titik permulaan, proses ini akan membantu kita memahami tujuan Tuhan dalam hidup kita. Proses ini juga akan menolong kita “mengetahui kehendak Allah” (12:2). Sama ada kita mengetahui kehendak Tuhan secara spesifik atau tidak, kita harus sentiasa menyelaraskan diri dengan watak dan pekerjaan-Nya di dunia.
Nali Kali ialah nama sekolah tersebut di India, yang bermaksud “pembelajaran yang menggembirakan”. Bagaimanakah kuasa transformasi Tuhan menuntun anda mempelajari kehendak-Nya dengan gembira?