Sementara duduk di meja makan, saya memerhatikan keadaan yang riang gembira di sekeliling saya. Mak cik, pak cik, sepupu, anak buah lelaki dan perempuan saya bersama-sama menikmati hidangan sempena pertemuan keluarga kami. Saya turut menikmati saat itu. Tetapi satu pemikiran menusuk hati saya: Kamu satu-satunya wanita di sini yang tidak mempunyai anak dan keluarga sendiri.

Ramai wanita bujang seperti saya mempunyai pengalaman serupa. Dalam budaya saya di Asia, perkahwinan dan anak-anak sangat diutamakan. Jika tidak mempunyai keluarga sendiri, ia boleh menimbulkan perasaan tidak lengkap. Seolah-olah anda kekurangan sesuatu untuk menentukan siapa diri anda dan melengkapi hidup anda.

Itulah sebabnya kebenaran bahawa “[Tuhanlah] yang aku perlukan selama-lamanya” memberi saya penghiburan (Mazmur 73:26). Ketika suku-suku Israel diberikan tanah, suku Lewi yang menjadi imam Tuhan tidak diberikan apa-apa. Sebaliknya, Tuhan berjanji bahawa Dia sendiri akan menjadi milik pusaka mereka (Ulangan 10:9, TB). Mereka dapat memperoleh kepuasan sepenuhnya dalam Dia dan mempercayai Dia akan memenuhi setiap keperluan mereka.

Bagi sebilangan kita, kekurangan yang kita rasa mungkin tidak ada kaitannya dengan keluarga. Mungkin kita menginginkan pekerjaan atau pencapaian akademik yang lebih baik. Apa pun keadaan kita, kita dapat merangkul Tuhan sebagai satu-satunya sumber yang kita perlukan. Dia menjadikan kita lengkap. Dalam Dia, kita tidak kekurangan apa-apa.