Ada orang mengatakan bahawa kita ada 3 nama sepanjang hidup kita, iaitu nama yang diberi oleh ibu bapa kita, nama yang diberi oleh orang lain (reputasi kita), dan nama yang kita berikan kepada diri sendiri (karakter kita). Nama yang diberi oleh orang lain memang penting kerana “nama baik lebih baik daripada harta yang banyak; dikasihi orang lebih baik daripada diberikan perak dan emas” (Amsal 22:1). Tetapi walaupun reputasi itu penting, karakter lebih berharga.

Ada satu nama lagi yang lebih penting. Yesus memberitahu orang Kristian di Pergamus bahawa walaupun reputasi mereka diburukkan kerana ada beberapa orang mengikut ajaran palsu, tetapi Tuhan menyediakan nama baru di syurga bagi mereka yang melawan dan mengatasi cubaan. “Mereka yang menang … Aku juga akan mengurniai setiap orang daripada mereka seketul batu putih. Batu itu ditulisi nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun, kecuali orang yang menerimanya” (Wahyu 2:17).

Kita tidak pasti mengapa Yesus berjanji akan memberikan batu putih. Adakah ia hadiah untuk kemenangan? Tiket untuk menghadiri jamuan Mesias (Penyelamat)? Mungkin ia merupakan suatu kaedah pengundian juri pada zaman dahulu untuk membebaskan pesalah. Kita tidak tahu. Bagaimanapun, Tuhan berjanji bahawa nama baru ini akan memadamkan aib kita (lihat Yesaya 62:1-5).

Reputasi kita mungkin rosak, dan karakter kita mungkin kelihatan tidak dapat berubah. Tetapi tiada nama yang dapat mendefinisikan siapa kita. Panggilan yang diberi oleh orang lain tentang anda, atau panggilan anda bagi diri sendiri itu tidak penting. Yesuslah yang mengatakan siapa anda. Hiduplah dengan nama baru anda.