Kini kita dapat memasang palam pembakar roti dengan mudah, kesemua ini adalah manfaat daripada pertengkaran sengit pada hujung abad ke-19. Pada waktu itu, pereka Thomas Edison dan Nikola Tesla bertarung pendapat tentang jenis elektrik terbaik untuk kegunaan secara meluas: arus terus seperti arus elektrik yang disalurkan daripada bateri ke lampu suluh; atau arus ulang-alik yang kita peroleh daripada soket elektrik.
Akhirnya, idea Tesla, iaitu arus ulang-alik berjaya. Sejak itu cara ini digunakan untuk membekalkan tenaga elektrik untuk rumah, perniagaan dan komuniti di seluruh dunia. Arus ulang-alik ini lebih berkesan dalam penyaluran tenaga elektrik jarak jauh dan terbukti menjadi pilihan yang lebih bijak.
Ada kalanya kita memerlukan hikmat semasa berhadapan dengan pendapat yang berbeza antara orang-orang percaya dalam Kristus (lihat Roma 14:1-12). Rasul Paulus memanggil kita agar mencari pertolongan Tuhan untuk mendapatkan penjelasan tentang hal ini. Dia berkata, “jika ada antara kamu yang berpendapat lain, Allah akan menjelaskan hal itu kepada kamu” (Filipi 3:15). Dalam beberapa ayat seterusnya, kita melihat akibat antara pandangan 2 orang yang berlainan sehingga ada perpecahan—konflik yang menyedihkan Paulus: “Euodia dan Sintikhe, aku memohon supaya kamu berdua sehati sebagai saudara seiman yang mentaati Tuhan” (Filipi 4:2).
Setiap kali apabila perselisihan mula menjejaskan hubungan, semoga kita mencari kasih kurnia dan hikmat Tuhan dalam Alkitab, nasihat orang-orang Kristian yang lebih matang dan tekun berdoa. Mari kita berusaha “sehati” dalam Dia (ayat 2).
ILHAM
Ketika Paulus berkata “satu perkara aku lakukan” (Filipi 3:13), “satu perkara” merujuk kepada perhatian penuh pada satu perkara atau sentiasa digerakkan oleh satu tujuan. Seperti seorang atlet yang mengabaikan segala gangguan untuk mencapai kejayaan (ayat 13-14), orang yang percaya kepada Yesus diseru supaya berfokus sepenuhnya dan berusaha untuk satu tujuan sahaja. Tujuan itu telah dikenal pasti dalam ayat 10: “mengenal Kristus dan mengalami kuasa yang membangkitkan Dia daripada kematian, turut menderita dengan Dia, dan menjadi seperti Dia dalam hal kematian-Nya.”Maka, untuk “mengenal” Kristus, tidak bermaksud semata-mata pengetahuan intelektual, melainkan pengalaman dan “persekutuan” yang intim (ayat 10) dengan Jesus melalui persekutuan kita dengan Dia melalui Roh Kudus. Ketika kita semakin rapat dengan Yesus melalui Roh Kudus, kita juga mengalami kuasa kebangkitan-Nya—akhirnya, kebangkitan tubuh kita ketika Dia kembali.