Semasa bermain bola keranjang dengan rakan-rakan perempuannya, Amber menyedari bahawa liga bola keranjang perempuan boleh membawa sumbangan kepada masyarakatnya. Oleh itu, dia menubuhkan Ladies Who Hoop, sebuah organisasi amal yang memupuk semangat berpasukan dan meninggalkan kesan yang baik kepada generasi akan datang. Ketua kumpulan organisasi ini berusaha untuk membina keyakinan dan karakter di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan serta mendorong mereka menjadi penyumbang kepada komuniti mereka. Salah seorang pemain asal yang kini menjadi mentor kepada gadis-gadis lain berkata, “Semangat keakraban terserlah di kalangan kami, dan inilah sesuatu yang aku inginkan sekali. Kami saling menyokong dalam pelbagai aspek. Aku gembira untuk melihat gadis-gadis bertumbuh dan berjaya dalam hidup mereka.”

Tuhan menghendaki umat-Nya saling menolong. Rasul Paulus mendorong jemaah di Tesalonika “saling menggalakkan dan saling menguatkan” (1 Tesalonika 5:11). Tuhan menempatkan kita dalam keluarga-Nya agar kita mendapat sokongan dalam hidup kita. Kita memerlukan sesama untuk menjalani hidup ini bersama dengan Kristus. Ada kalanya itu mungkin bermaksud kita menjadi pendengar bagi keluhan seseorang yang sedang bergelut dengan suatu masalah hidup, memberikan keperluan praktikal, atau memberi kata-kata dorongan. Kita dapat meraikan kejayaan, menaikkan doa untuk kekuatan dalam kesukaran, atau saling mencabar untuk bertumbuh dalam iman. Dalam segala sesuatu, kita “harus sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang” (ayat 15).

Kita dapat menikmati semangat keakraban apabila kita dan orang beriman yang lain saling menyokong untuk terus mempercayai Tuhan!