Ketika Hugh dan DeeDee kehilangan satu-satunya anak mereka, mereka bergelut untuk mencari panggilan diri mereka. Tiada gelaran khusus untuk ibu bapa yang kehilangan anak. Seorang isteri yang kehilangan suaminya digelar balu. Seorang suami yang kehilangan isterinya digelar duda. Anak yang kehilangan ibu bapanya digelar anak yatim piatu. Tiada gelaran bagi ibu bapa yang kehilangan anak kerana ia adalah luka yang tidak dapat diungkapkan..
Keguguran anak. Kematian bayi secara tiba-tiba. Pembunuhan diri. Penyakit. Kemalangan. Kematian merampas nyawa anak kecil dari dunia ini dan kemudian merampas identiti ibu bapa yang masih hidup.
Namun, Tuhan sendiri mengerti kesedihan terdalam itu apabila Anak-Nya yang tunggal, Yesus, memanggil-Nya dari kayu salib, “Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!” (Lukas 23:46). Tuhan adalah Bapa sebelum Yesus dilahirkan di dunia dan tetap menjadi Bapa ketika Yesus menghembuskan nafas terakhir-Nya. Tuhan tetap menjadi Bapa ketika jenazah Anak-Nya dikuburkan. Hari ini Tuhan yang hidup adalah Bapa kepada Anak yang telah bangkit, yang memberikan harapan kepada setiap ibu bapa bahawa anak mereka juga dapat hidup semula.
Apakah panggilan yang anda berikan kepada Bapa Syurgawi yang telah mengorbankan Anak-Nya demi menyelamatkan dunia, anda dan saya? Bapa. Dia tetap dipanggil Bapa. Apabila tiada istilah dalam glosari untuk menggambarkan betapa sakitnya hati ketika mengalami kehilangan, Tuhan adalah Bapa kita dan Dia memanggil kita anak-anak-Nya (1 Yohanes 3:1).