“Bapa tidak dapat memberi banyak benda kepadamu, nak. Tetapi bapa memiliki nama yang baik, oleh itu janganlah merosakkannya.” Kata-kata yang penuh hikmat itu diucapkan oleh Johnnie Bettis ketika anaknya Jerome meninggalkan rumah untuk melanjutkan pelajaran. Jerome menyebut kata-kata bapanya ini semasa ucapannya di Dewan Kemasyhuran Bola Sepak Profesional Amerika. Kata-kata hikmat yang dipegang oleh Jerome sepanjang hidupnya membawa kesan yang begitu besar sehingga dia menutup ucapannya dengan kata-kata yang serupa kepada anaknya sendiri. “Nak, tidak banyak yang bapa dapat berikan kepadamu selain nama baik keluarga kita.”
Nama baik sangat penting bagi orang yang percaya kepada Yesus. Kata-kata Paulus dalam Kolose 3:12-17 mengingatkan kita tentang siapa yang kita wakili (ayat 17). Keperibadian adalah seperti pakaian yang kita pakai; dan petikan ini memaparkan pakaian yang mempunyai “label Yesus”: “Kamu umat Allah … Oleh itu, kamu harus berbelas kasihan, baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan bersabar. Hendaklah kamu saling bersabar dan saling mengampuni … Di samping melakukan semua itu, kamu harus saling mengasihi” (ayat 12-14). Ini bukan hanya “pakaian yang kita harus pakai pada hari Minggu”. Kita mesti memakainya di mana-mana sahaja dan sepanjang masa, kerana Tuhan bekerja dalam diri kita agar kehidupan kita dapat mencerminkan Dia. Apabila hidup kita bercirikan sifat-sifat ini, kita menunjukkan bahawa kita anak-Nya.
Semoga kita mewakili Yesus dalam hidup kita dengan kewaspadaan dan doa. Dia membekalkan apa yang kita perlukan.