Kepanasan dan kelembapan cuaca musim panas meliputi Barat Tengah Amerika Syarikat sepanjang minggu selama konferensi pemuridan berlangsung. Tetapi pada hari terakhir, udara bertukar menjadi lebih sejuk. Semua orang menaikkan pujian dan syukur kepada Tuhan atas pertukaran cuaca serta pekerjaan Tuhan yang luar biasa. Ramai orang berasa bebas untuk menaikkan pujian kepada Tuhan dengan sepenuh hati, mempersembahkan hati, jiwa, tubuh dan fikiran kepada Dia. Semasa mengimbas kembali saat itu, saya teringat akan keajaiban dan sukacita yang berlaku apabila menaikkan pujian kepada Tuhan.

Raja Daud tahu bagaimana menyembah Tuhan dengan sepenuh hati. Dia bersukacita ketika Tabut Perjanjian yang menandakan kehadiran Tuhan ditempatkan di Yerusalem—menari, melompat dan meraikannya dengan gembira (1 Tawarikh 15:29). Walaupun isterinya, Mikhal “memandang rendah Daud dalam hatinya” (ayat 29, TB), Daud tidak membiarkan kritikan isterinya itu menghentikan dia menyembah Tuhan yang benar. Meskipun apa yang dilakukannya itu kelihatan tidak senonoh, dia tetap ingin bersyukur kepada Tuhan kerana Dia memilih Daud untuk memimpin bangsa Israel (lihat 2 Samuel 6:21–22).

Daud “menugaskan Asaf dan rakan-rakannya sesama orang Lewi untuk menyanyikan lagu puji-pujian kepada TUHAN.” Pujian ini berbunyi: “Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya. Ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa. Nyanyikanlah lagu pujian kepada TUHAN, ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan” (1 Tawarikh 16:7–9). Semoga kita juga mempersembahkan diri sepenuhnya untuk menyembah Tuhan dengan menaikkan pujian dan kasih kita kepada-Nya.