Mula-mula, lelaki itu mengambil sebuah kotak peralatan memancing di sebuah kedai kecil. Kemudian, dia mengisi bakulnya dengan mata kail, umpan, pelampung, tali tangsi dan batu ladung. Dia juga menambah umpan hidup, memilih joran serta mesin gulung. “Pernah memancing sebelum ini?” tanya pemilik kedai tersebut. Lelaki itu menjawab tidak. “Lebih baik tambah ini,” kata pemilik kedai itu lagi. Ia adalah peti pertolongan cemas. Lelaki itu bersetuju dan membayarnya. Kemudian dia meluangkan masa sepanjang hari untuk memancing tetapi tidak mendapat sebarang hasil, kecuali jarinya yang tercedera akibat terkena mata kail.

Simon Petrus tidak akan menghadapi masalah ini. Sebagai nelayan yang berpengalaman, dia terkejut apabila Yesus menyuruh dia mendayung perahu ke tempat yang dalam dan “tebarkanlah jala untuk menangkap ikan” (Lukas 5:4). Meskipun sepanjang malam tidak berhasil, Simon dan anak buahnya menebarkan jala mereka dan “mendapat sedemikian banyak ikan sehingga jala itu hampir koyak.” Kedua-dua perahunya hampir tenggelam disebabkan hasil tangkapan mereka (ayat 6).

Setelah menyaksikan kejadian ini, Simon Petrus “berlutut di hadapan Yesus,” dan berkata “Tinggalkanlah aku, ya Tuhan! Aku orang berdosa!” (ayat 8). Namun, Yesus mengetahui identiti sebenar Simon. Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mulai sekarang kamu akan menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Selepas mendengar kata-kata Yesus, Simon “meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut” Kristus (ayat 10-11). Apabila kita mengikut-Nya, Dia menolong kita mengetahui siapa diri kita dan apa itu panggilan hidup kita.