Selepas pesawat Prem Pradham (1924-1998) ditembak jatuh semasa Perang Dunia II, dia mengalami kecederaan ketika dia turun dengan menggunakan payung terjun. Akibatnya dia berjalan pincang seumur hidupnya. Dia pernah berkata, “Kakiku lumpuh. Bukankah itu aneh Tuhan memanggil aku memberitakan Injil di Pergunungan Himalaya?” Dia memberitakan Injil di Nepal dan mengalami tentangan hebat, termasuk dikurungkan di “penjara maut bawah tanah,” tempat yang dia diseksa dengan teruk. Dalam jangka masa 15 tahun, Prem menghabiskan 10 tahun di 14 penjara yang berbeza. Akan tetapi, sebagai saksi yang berani bagi Kristus, usahanya membuahkan hasil. Ramai orang mengalami perubahan hidup kerana Kristus, termasuk pegawai penjara dan banduan lain juga menyampaikan Injil tentang Yesus kepada bangsa mereka sendiri pada masa kemudian.

Rasul Petrus menghadapi tentangan kerana imannya kepada Yesus, dan dia dipakai Tuhan untuk menyembuhkan “orang lumpuh” (Kisah Rasul-Rasul 4:9). Tetapi dia tetap menggunakan peluang itu untuk berbicara tentang Kristus dengan berani (ayat 8-13).

Hari ini, seperti Petrus, kita juga mungkin menghadapi pelbagai tentangan (ayat 3), tetapi kita mempunyai ahli keluarga, rakan sekerja, rakan sekolah dan sahabat lain yang sangat perlu mendengar tentang Tuhan yang “menyelamatkan kita” (ayat 12). Hanya melalui Yesus, Dia mati untuk membayar dosa kita dan dibangkitkan daripada kematian sebagai bukti kuasa-Nya untuk mengampuni kita (ayat 10). Semoga orang menerima Yesus ketika kita dengan doa dan penuh keberanian berkongsi Berita Baik tentang keselamatan yang hanya melalui Yesus.