Pada suatu hari bulan Ogos yang panas dan lembap, isteri saya melahirkan anak kedua kami. Tetapi kami masih belum mencari nama yang sesuai untuk anak kami yang baru lahir ini. Setelah menghabiskan beberapa jam di kedai aiskrim dan mengambil masa memandu yang lama, kami masih belum dapat membuat keputusan. Kami hanya memanggilnya “Baby Williams” selama 3 hari sebelum akhirnya kami menamai dia Micah.
Memilih nama yang tepat bukannya mudah, kecuali anda adalah Tuhan yang dapat memberikan nama yang sempurna bagi Yesus yang akan membawa perubahan abadi. Melalui nabi Yesaya, Tuhan memerintahkan Raja Ahas meminta “satu tanda” daripada-Nya untuk meneguhkan imannya (Yesaya 7:10-11). Meskipun raja menolak untuk meminta tanda, Tuhan tetap memberinya: “seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel’ ” (ayat 14). Tuhan menamakan anak itu “Yesus” dan Dia akan menjadi tanda harapan bagi orang-orang yang mengalami keputusasaan. Matius memberikan makna baharu ketika dia menulis kisah kelahiran Yesus (Matius 1:23). Yesus akan menjadi “Imanuel.” Dia bukan hanya menjadi wakil Tuhan, tetapi Dia adalah Tuhan yang telah datang sebagai manusia, untuk menyelamatkan umat-Nya daripada dosa.
Tuhan memberi kita tanda. Tanda itu ialah Anak. Nama Anak itu ialah Imanuel―“Allah menyertai kita” (Matius 1:23). Nama ini menggambarkan hadirat dan kasih-Nya. Hari ini, Dia mengajak kita percaya kepada Imanuel dan mengetahui bahawa Dia bersama dengan kita.