Gereja Baptis Dewberry mengalami perpecahan pada tahun 1800-an disebabkan hanya sepotong paha ayam. Malah telah muncul banyak versi cerita tentang hal ini. Tetapi menurut seorang anggota gereja, punca perpecahan itu adalah mengenai 2 lelaki berebut paha ayam yang terakhir sewaktu jamuan gereja. Salah seorang lelaki berkata bahawa Tuhan menghendaki dia mendapatkan paha ayam itu. Yang seorang lagi menjawab bahawa Tuhan tidak mempedulikan hal ini, dan dia sangat ingin makannya. Mereka menjadi sangat marah sehingga salah seorang lelaki itu keluar dari gereja tersebut dan memulakan gereja baharu, iaitu Gereja Baptis Dewberry #2 yang terletak hanya beberapa kilometer di jalan yang sama. Syukurlah, pada hari ini, anggota-anggota gereja itu telah menyelesaikan perselisihan mereka. Semua orang mengakui bahawa alasan perpecahan itu sama sekali tidak masuk akal.

Demikianlah juga dengan pendapat Yesus. Pada malam sebelum kematian-Nya, Yesus berdoa untuk para pengikut-Nya. Semoga mereka “semua menjadi satu, sebagaimana Engkau bersatu dengan-Ku, dan Aku dengan-Mu. Semoga mereka menjadi satu dengan Kita supaya dunia percaya bahawa Engkau mengutus Aku” (Yohanes 17:21-23).

Demikianlah juga dengan pendapat Paulus. Dia menggesa kita “berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara. Hanya ada satu tubuh dan satu Roh” (Efesus 4:3-4), dan perpecahan tidak harus berlaku.

Kita yang bersedih disebabkan tubuh Kristus yang hancur kerana dosa kita, tidak boleh membiarkan tubuh-Nya, iaitu jemaah, dirobek oleh kemarahan, gosip dan sikap berkelompok kita. Lebih baik mengalah daripada menjadi penyebab perpecahan gereja. Berilah paha ayam itu kepada orang lain―dan beberapa keping kuih-muih!