Kami menghadiri kebaktian gereja dengan penuh kegembiraan pada pagi Ahad. Walaupun kami mengamalkan penjarakan disebabkan pandemik Covid-19, kami menghargai peluang untuk meraikan perkahwinan Gavin dan Tijana. Sahabat-sahabat kami yang berbangsa Iran yang mahir dalam teknologi, menyiarkan upacara perkahwinan ini kepada rakan-rakan dan keluarga yang tersebar di seluruh pelosok dunia termasuk Sepanyol, Poland dan Serbia. Cara yang kreatif ini membantu kami mengatasi kekangan dan bersukacita untuk menyaksikan mereka membuat perjanjian perkahwinan di depan Tuhan. Roh Tuhan menyatukan kami dan memberi kami kegembiraan.
Jemaah multinasional pada pagi Ahad itu membayangkan sedikit pengalaman dan gambaran tentang kemuliaan yang akan datang ketika semua orang dari “setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa” akan berdiri di hadapan Tuhan di syurga (Wahyu 7:9). Pengikut Tuhan yang dikasihi, iaitu Yohanes melihat “lautan manusia” ini melalui satu penglihatan yang diceritakannya dalam kitab Wahyu. Di sana mereka yang berkumpul akan menyembah Tuhan bersama dengan para malaikat dan para pemimpin: “Amin! Pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, penghormatan, kekuasaan, dan kemegahan bagi Allah kita selama-lamanya! Amin” (ayat 12).
Penyatuan serta perkahwinan Yesus dan pengantin-Nya dari pelbagai bangsa sewaktu “majlis perkahwinan Anak Domba” (19:9) akan menjadi masa penyembahan dan perayaan yang luar biasa. Pengalaman kami sewaktu menghadiri kebaktian gereja dengan orang-orang dari pelbagai bangsa menunjukkan waktu yang akan kita nikmati suatu hari kelak.
Sementara kita menunggu dengan harapan untuk peristiwa yang menggembirakan itu, kita dapat menghargai waktu kita berpesta dan bersukacita bersama dengan umat Tuhan.