Bas yang kami naiki akhirnya tiba di destinasi yang kami nanti-nantikan—tempat penggalian arkeologi Israel yang kami sendiri akan melakukan beberapa kerja penggalian. Pengurus di tapak tersebut menjelaskan bahawa setiap kami mungkin akan menggali benda-benda yang belum pernah ditemukan oleh manusia selama ribuan tahun. Pengalaman menggali serpihan tembikar yang pecah seolah-olah membawa kami kembali ke zaman purba. Selepas waktu yang panjang, kami dibawa ke tempat serpihan-serpihan tersebut—pasu-pasu besar zaman dahulu dicantumkan kembali.
Gambaran itu sangat jelas. Para pakar seni yang menyusun semula tembikar yang telah pecah berabad-abad lamanya merupakan gambaran indah tentang sifat Tuhan yang suka memperbaiki dan memulihkan orang-orang yang telah rosak dan hancur. Dalam Mazmur 31:13, Daud menulis, “Aku dilupakan seolah-olah aku sudah mati; aku umpama barang terbuang.” Walaupun latar belakang penulisan Mazmur ini tidak diberitahu, kesulitan hidup Daud sering kali kita temukan dalam Mazmur ratapan—seperti mazmur ini. Mazmur ini menggambarkan keadaannya yang dikalahkan oleh bahaya, musuh dan keputusasaan.
Jadi, di manakah dia mendapatkan pertolongan? Dalam ayat 17, Daud berseru kepada Tuhan, “Semoga Engkau berkenan kepada hamba-Mu; selamatkanlah aku demi kasih-Mu.”
Tuhan yang dipercayai Daud merupakan Tuhan yang sama, yang masih memperbaiki dan memulihkan hal-hal yang hancur pada hari ini. Dia hanya menghendaki kita berseru kepada-Nya dan percaya kepada kasih setia-Nya.