Pasukan bola sepak Amerika yang dilatih oleh anak saya, Brian kalah dalam perlawanan akhir peringkat negeri yang sengit. Lawan mereka merupakan juara bertahan sejak 2 tahun yang lalu. Saya menghantar mesej kepada Brian untuk memberikannya penghiburan, tetapi saya menerima jawapan yang singkat dan manis: “Kanak-kanak dalam pasukan saya telah berjuang!”
Tiada jurulatih memalukan siapa-siapa pemain selepas perlawanan itu. Tiada orang menjerit kepada mereka kerana kesalahan atau keputusan buruk mereka. Tidak ada, bahkan jurulatih memuji pemain-pemain muda itu tentang prestasi mereka yang diperbaik.
Dalam hal yang sama, adalah baik untuk mengetahui bahawa orang yang beriman dalam Yesus tidak akan mendengar kata-kata penghakiman yang keras daripada Dia. Apabila Kristus datang dan kita berdiri di hadapan-Nya, Dia tidak akan memalukan kita. Dia akan melihat apa yang telah kita lakukan apabila kita telah mengikuti Dia (2 Korintus 5:10, Efesus 6:8). Saya fikir Dia akan mengatakan sesuatu seperti, “Anda telah berjuang! Syabas!” Rasul Paulus bersaksi bahawa dia “sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan” dan berharap untuk dialu-alukan oleh Tuhan (2 Timotius 4:7-8).
Kehidupan merupakan perjuangan yang tiada hentinya menentang musuh kita yang tidak ingin mengalah, malah berkeras untuk membinasakan kita. Dia akan menentang segala usaha yang kita lakukan untuk menjadi seperti Yesus dan mengasihi orang lain. Terdapat waktu untuk kemenangan dan kekalahan yang menyedihkan—Tuhan tahu—tetapi tidak akan ada hukuman kekal “bagi mereka yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus” (Roma 8:1). Sekiranya kita berdiri di hadapan-Nya kerana pengorbanan Anak Tuhan, kita masing-masing “akan mendapat pujian yang layak diterimanya daripada Allah” (1 Korintus 4:5).