Di sebuah gereja yang besar di Afrika, seorang pastor berlutut dan berdoa kepada Tuhan. “Ingatlah kami!” Ketika pastor itu membuat permohonan tersebut, orang ramai menyahut sambil menangis, “Ingatlah kami, ya Tuhan!” Sewaktu menonton detik ini di YouTube, saya terkejut apabila menyedari bahawa saya turut mengalirkan air mata. Doa itu telah direkodkan beberapa bulan sebelumnya. Tetapi ia mengingatkan saya akan zaman kanak-kanak saya ketika mendengar pastor kami membuat permohonan yang sama kepada Tuhan. “Ingatlah kami, ya Tuhan!”
Ketika mendengar doa itu semasa kecil, saya salah menganggap bahawa Tuhan kadang-kadang lupa tentang kita. Tetapi Tuhan Yang Maha Tahu (Mazmur 147:5; 1 Yohanes 3:20), Dia selalu mengamati kita (Mazmur 33:13-15) dan Dia mengasihi kita tanpa batas (Efesus 3:17-19).
Lebih-lebih lagi, seperti perkataan Ibrani Zakar, yang bermaksud “ingat”, apabila Tuhan “mengingati” kita, Dia akan bertindak untuk kita. Zakar juga bermaksud ‘bertindak bagi pihak seseorang’. Oleh itu, Tuhan tidak melupakan Nuh dan “semua binatang yang ada bersama-samanya di dalam bahtera.” Kemudian Día “membuat angin bertiup sehingga air mulai surut” (Kejadian 8:1). Apabila Tuhan “ingat” akan Rahel; Tuhan “mengabulkan doanya dan membolehkan dia melahirkan anak” (30:22-23).
Sungguh indahnya jika kita meminta Tuhan mengingati kita dalam doa! Dia akan menjawab doa kita menurut kehendak-Nya. Walau bagaimanapun, permohonan kita perlu disertakan kerendahan hati untuk meminta Tuhan bertindak.