Linus, watak dalam komik bertajuk Peanuts, terkenal dengan selimut keselamatannya yang berwarna biru. Dia membawanya ke mana-mana sahaja dan tidak malu memeluknya untuk keselesaan. Kakaknya, Lucy sangat membenci selimut itu dan sering menggunakan pelbagai cara untuk membuangnya. Dia menguburkannya, menjadikannya layang-layang dan menggunakannya untuk projek pameran sains di sekolahnya. Linus juga sedar bahawa dia tidak harus terlalu bergantung pada selimut itu dan perlu kurang menggunakannya dari semasa ke semasa. Walaupun demikian, dia masih mengambilnya kembali.

Dalam filem bertajuk A Charlie Brown Christmas, ketika Charlie Brown bertanya dengan kecewa, “Tiadakah orang yang tahu apa itu Krismas sebenar?” Linus, sambil memegang selimut kesayangannya di tangan, melangkah ke tengah pentas dan mula membaca Lukas 2:8-14. Ketika dia membaca frasa, “Janganlah takut,” dia menjatuhkan selimutnya—benda yang sentiasa dipegangnya ketika dia berasa takut.

Apakah unsur Krismas yang mengingatkan bahawa kita tidak perlu takut? Malaikat menampakkan diri kepada para gembala dan berkata, “Janganlah takut! … telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan” (Lukas 2:10-11).

Yesus ialah Imanuel, yang bermaksud “Allah menyertai kita” (Matius 1:23). Kita mengalami kehadiran-Nya melalui Roh Kudus, Penghibur yang benar (Yohanes 14:26), maka kita tidak perlu takut. Kita dapat melepaskan “selimut keselamatan kita” dan berharap kepada-Nya.