Ketika pencari emas, Edward Jackson berangkat ke California semasa berlakunya Great Gold Rush (kerubut emas) di Amerika Syarikat, diarinya pada 20 Mei 1849 mencatatkan perjalanannya yang menjerihkan dengan kereta kuda, dan disusuli penyakit dan kematian. “Jangan tinggalkan tulangku di sini,” tulisnya. “Jika boleh, bawalah balik ke kampung halaman aku.” Seorang lagi pencari emas, John Walker menulis, “Sukar dibayangkan, semuanya terserah kepada nasib. … Aku tidak akan suruh orang lain datang ke sini.”
Sebenarnya, Walker pulang ke kampung halamannya dan berjaya dalam bidang pertanian, penternakan dan politik negara. Semasa seorang ahli keluarganya menghadiri sebuah program televisyen Amerika, Antiques Roadshow (Jerayawara Antik) dengan membawa surat usang Walker, surat-suratnya kini bernilai beberapa ribu ringgit. Pengacara televisyen itu berkata, “Dia mendapat sesuatu yang berharga melalui penemuan emas―surat-suratnya.”
Walker dan Jackson kembali ke kampung halaman selepas mendapat hikmat yang menyebabkan mereka menjalani kehidupan yang lebih praktikal. Renungkan kata-kata hikmat Raja Salomo, “Berbahagialah orang yang menjadi bijaksana dan mendapat pengertian … Orang yang menjadi bijaksana berasa bahagia, dan mendapat hidup yang sejati” (Amsal 3:13, 18). Pilihan yang bijak “melebihi keuntungan daripada perak, dan nilainya lebih tinggi daripada emas” (ayat 14)—menjadikan hikmat lebih bernilai daripada keinginan duniawi (ayat 15).
“Hikmat memberi kamu umur panjang … memberi kamu kehidupan yang sejahtera dan sentosa” (ayat 16–17). Oleh itu, cabaran kita adalah berpegang teguh pada kebijaksanaan, bukannya kilauan emas. Inilah jalan yang diberkati Tuhan.
ILHAM
Kebanyakan kita percaya bahawa memiliki lebih kebendaan—atau beban kewangan yang sedikit—akan membawa kegembiraan. Salomo, yang menyusunkan kebanyakan kandungan Amsal, memahami bahawa kegembiraan sebegitu adalah sementara. Apa kebaikannya memiliki kekayaan besar jika kita memboroskannya? Lebih baiknya kita memiliki hikmat! Dengan hikmat, kita boleh tahu bagaimana untuk menguruskan apa yang kita milki, bagaimana untuk mengatasi konflik hubungan yang kita hadapi, dan apa yang membawa kepuasan sejati.Tetapi apakah hikmat dan di mana kita mencarinya? Carian kita membawa kita kepada Sumber segala hikmat. Fasal pertama Amsal memberitahu kita, “Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya [kita] mesti hormat dan takut kepada TUHAN” (1:7). Salomo mengulangi ini kemudian dalam kitab itu apabila dia memberitahu kita, “Jika kamu hendak menjadi bijaksana, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Jika kamu kenal akan Tuhan Yang Maha Suci, kamu akan memperoleh pengertian” (9:10).