Dua singa batu megah yang diperbuat daripada batu marmar mengawasi pintu masuk Perpustakaan Awam New York sejak perasmian perpustakaan ini pada tahun 1911. Dua singa tersebut pada mulanya diberi nama Leo Lenox dan Leo Astor sebagai penghormatan kepada pengasas perpustakaan. Tetapi semasa Kemelesetan Ekonomi Dunia, Datuk Bandar New York, Fiorello LaGuardia memberikan dua singa itu nama baru, Ketabahan dan Kesabaran, 2 sifat baik yang dia fikir patut diamalkan oleh warga New York pada tahun-tahun yang mencabar itu. Dua singa batu ini masih disebut sebagai Ketabahan dan Kesabaran pada hari ini.

Alkitab menggambarkan Singa yang hidup dan kuat juga memberikan dorongan pada masa-masa yang sukar dan dikenali dengan nama lain. Dalam penglihatannya tentang syurga, rasul Yohanes menangis ketika dia melihat tiada sesiapa dapat membuka gulungan tertutup yang berisi rancangan penghakiman dan penyelamatan Tuhan. Kemudian Yohanes diberitahu, “Jangan menangis! Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, keturunan agung daripada Daud, sudah menang. Dia dapat memecahkan tujuh buah meterai itu dan membuka gulungan naskhah itu” (Wahyu 5:5).

Tetapi dalam ayat berikutnya, Yohanes menjelaskan sesuatu yang berlainan: “Kemudian aku nampak seekor Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh empat makhluk dan semua pemimpin itu. Anak Domba itu nampaknya sudah disembelih” (ayat 6). Singa dan Anak Domba ialah Peribadi yang sama: Yesus. Dia ialah Raja yang menang dan “Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia!” (Yohanes 1:29). Melalui kekuatan dan kayu salib-Nya, kita menerima belas kasihan dan pengampunan sehingga kita dapat hidup dengan sukacita dan mengagumi segalanya tentang Dia selamanya!