“Gembala memerlukan hikmat besar dan seribu mata untuk memeriksa keadaan jiwa dari semua aspek,” tulis John Chrysostom, bapa gereja yang dikasihi. Dia menulis kata-kata ini untuk membincangkan kerumitan dalam penjagaan orang secara rohani. Dia menekankan, bahawa kita memerlukan empati dan belas kasihan untuk menjangkau hati orang, kerana ia adalah mustahil untuk memaksa orang untuk sembuh.

Namun Chrysostom menegaskan, ini tidak bermakna tidak akan menyebabkan kesakitan. “Jika anda bersikap terlalu lembut kepada orang yang memerlukan pembedahan besar tetapi tidak melakukannya dengan tepat, anda mungkin membedah hanya sebahagian sel kanser tetapi bukan seluruhnya. Tetapi jika anda membuat pembedahan yang diperlukan tanpa belas kasihan, sering kali pesakit akan berasa putus asa kerana penderitaannya, melepaskan segalanya … malah menyebabkan kematian.”

Kerumitan yang serupa juga diperlihatkan, ketika Yudas menuliskan cara untuk memberi respons terhadap orang yang menjadi sesat disebabkan ajaran guru-guru palsu, malah tingkah laku mereka juga jelas dihuraikan (1:12–13, 18–19). Tetapi ketika Yudas menyebutkan cara untuk mengambil tindakan terhadap ancaman yang begitu besar, dia tidak menggalakkan kita bertindak dengan kemarahan yang meluap-luap.

Sebaliknya, dia mengajarkan bahawa orang percaya harus bertindak balas terhadap ancaman dengan berakarkan kasih Tuhan yang mendalam (ayat 20-21). Ini kerana hanya ketika kita berakar dalam kasih Tuhan yang tidak berubah, kita dapat menemukan hikmat untuk menolong orang lain dengan dorongan, kerendahan hati dan belas kasihan (ayat 22–23). Inilah cara yang mungkin dapat menolong mereka menemukan penyembuhan serta rehat dalam kasih Tuhan yang tidak terbatas.