Semasa saya membawa anjing tua saya, Wilson menuju ke padang rumput, untuk seketika saya melepaskan tali cawak anjing muda kami yang bernama Coach. Ketika saya membongkok untuk mengambil semula tali itu, Coach ternampak seekor arnab dan dengan segera mula mengejar arnab itu. Coach terlepas daripada tali cawak yang bergulung-gulung di tangan kanan saya sehingga jari manis saya tercedera. Saya terjatuh ke rumput dan menangis kesakitan.

Setelah menerima rawatan kecemasan dan dimaklumkan bahawa saya memerlukan pembedahan, saya berdoa kepada Tuhan. “Aku seorang penulis! Bagaimanakah aku dapat menaip nanti? Bagaimana pula dengan tugasan harianku?” Seperti biasa, Tuhan berbicara kepada saya melalui pembacaan Alkitab hari itu. “Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, ‘Jangan takut, Aku akan menolong kamu’ ” (Yesaya 41:13). Saya meneliti konteks ayat ini dan menemukan: pesanan ini disampaikan oleh Yesaya kepada umat Tuhan di Yehuda. Mereka menikmati hubungan yang istimewa dengan-Nya. Tuhan menjanjikan kehadiran, kekuatan dan pertolongan-Nya “dengan tangan [kanan-Nya] yang penuh kebenaran” (ayat 10). Dalam bahagian Alkitab yang lain, tangan kanan Tuhan digunakan untuk mencapai kemenangan bagi umat-Nya (Mazmur 17:7; 98:1).

Beberapa minggu selama jari saya beransur pulih, saya mengalami dorongan Tuhan ketika saya belajar untuk menaip dengan komputer dan melatih tangan kiri saya untuk melakukan kerja-kerja rumah. Daripada tangan kanan Tuhan yang benar kepada tangan kanan kita yang patah dan memerlukan pertolongan, Tuhan telah berjanji akan bersama dengan kita dan menolong kita.