“Aku tidak percaya Krismas sudah berakhir,” kata anak perempuan saya dengan kecewa.
Saya tahu perasaannya: Selepas Krismas, suasana terasa suram. Hadiah-hadiah telah dibuka. Pokok Krismas dan perhiasan lampu mesti diturunkan. Bulan Januari yang lembap, dan ramai orang ingin mengurangkan berat badan akibat musim cuti. Krismas pada tahun berikutnya tiba-tiba terasa sangat lama.
Beberapa tahun yang lalu, ketika kami menyimpan barang-barang Krismas, saya menyedari: tidak kira apa yang tertera pada kalendar, kita akan sentiasa sehari lebih dekat dengan Krismas berikutnya. Ia menjadi kalimat yang saya sering katakan.
Tetapi jauh lebih penting daripada perayaan Krismas ialah kenyataan rohani di sebaliknya: keselamatan yang dibawa Yesus ke dunia dan harapan kita untuk kedatangan-Nya yang kedua kali. Alkitab berulang kali menyebut tentang berjaga-jaga, menunggu dan merindukan kedatangan Kristus yang kedua kali. Saya suka apa yang dikatakan Paulus dalam Filipi 3:15–21. Dia membezakan cara hidup dunia yang “memikirkan perkara-perkara duniawi” (ayat 19) dengan gaya hidup yang dibentuk oleh harapan yang menantikan kedatangan Yesus: “kewarganegaraan kita di syurga. Dengan penuh harapan kita menanti-nantikan kedatangan Penyelamat kita, Tuhan Yesus Kristus” (ayat 20).
Kenyataan bahawa “kewarganegaraan kita di syurga”, mengubah segala-galanya, termasuk apa yang kita harapkan dan bagaimana kita hidup. Harapan itu diperkuat apabila kita tahu bahawa bagi setiap hari yang berlalu, kita memang sehari lebih dekat menjelang kedatangan Yesus.