Pada tahun 1952, untuk mengelakkan orang-orang yang cemerkap atau cuai memecahkan barang di kedainya, pemilik kedai Miami Beach melekatkan tanda berbunyi: “Sekali rosak dikira jual.” Frasa menarik itu dijadikan amaran kepada pelanggan. Tanda seperti ini sekarang dapat dilihat di banyak kedai perhiasan.
Ironinya, tanda yang berbeza mungkin diletakkan di kedai tukang periuk yang sebenar. Tanda itu mungkin berbunyi: “Sekali rosak, sesuatu yang lebih baik akan terhasil.” Itulah yang dinyatakan dalam Yeremia 18.
Yeremia mengunjungi rumah tukang periuk dan melihat bagaimana tukang periuk membentuk tanah liat yang “kurang sempurna” dengan tangannya, malah dengan berhati-hati dia membentuk semula bahan tersebut “sehingga menjadi periuk lain” (ayat 4). Nabi mengingatkan kita bahawa Tuhan adalah tukang periuk yang mahir dan kita ialah tanah liat. Dia berdaulat dan dapat menggunakan apa yang diciptakan-Nya untuk menghancurkan kejahatan dan menciptakan keindahan dalam diri kita.
Tuhan dapat membentuk kita walaupun kita telah rosak atau hancur. Dia, tukang periuk yang mahir, dapat dan bersedia membuat periuk baru dan berharga daripada serpihan-serpihan hidup kita yang hancur. Tuhan tidak memandang kehancuran hidup, kesilapan dan dosa masa lalu kita sebagai bahan yang tidak dapat digunakan. Sebaliknya, Dia mengambil serpihan kita dan membentuknya semula untuk menjadi sesuatu yang terbaik di mata-Nya.
Di sebalik segala kehancuran kita, kita amat berharga bagi Tukang Periuk kita. Dalam tangan-Nya, serpihan-serpihan hidup kita yang hancur dapat dibentuk kembali dan dipakai-Nya untuk menjadi alat-alat yang indah (ayat 4).
ILHAM
Yeremia menggunakan analogi tukang periuk dan tanah liat untuk menggambarkan kebebasan Tuhan untuk menghakimi dan memulihkan umat-Nya. Sekalipun Tuhan berjanji akan “mendirikan atau menguatkan” suatu bangsa (Yeremia 18:9), ini tidak bererti bangsa itu dapat berpuas hati dan menjadi sombong, kerana Tuhan bebas untuk menghakimi orang yang tidak bertaubat (ayat 10). Sementara itu, penghakiman Tuhan ke atas Israel tidak bererti kehancuran mereka adalah kekal. Jika orang Israel bertaubat, Tuhan, seperti tukang periuk yang membentuk tanah liat, akan dengan bebas membentuk dan membangun kembali Israel (ayat 8).Metafora tukang periuk dan tanah liat juga menekankan maksud baik Tuhan bagi ciptaan-Nya. Ketika menemukan kecacatan pada tanah liat (kurang lembap, menggumpal, atau ada masalah lain), tukang periuk akan mengolahnya hingga menjadi bentuk yang dapat digunakan. Demikian pula, Tuhan tidak mencampakkan ciptaan-Nya, melainkan terus membentuknya untuk mencapai tujuan-Nya yang baik.