Setiap kali apabila profesor itu mengakhiri kelas dalam talian, dia akan berkata, “Jumpa lagi” atau “Selamat menikmati hujung minggu.” Sebilangan pelajar akan menjawab, “Terima kasih. Profesor juga!” Tetapi suatu hari seorang pelajar menjawab, “Aku mengasihimu.” Dengan terkejut dia membalas, “Aku juga mengasihimu!” Pada petang itu, pelajar kelas itu bersetuju untuk membuat rantaian “aku mengasihimu” untuk kelas seterusnya, sebagai penghargaan kepada profesor mereka yang harus mengajar melalui skrin komputernya dan bukan secara fizikal seperti yang dikehendakinya. Beberapa hari kemudian ketika selesai mengajar, profesor itu berkata, “Jumpa lagi,” dan seorang demi seorang pelajar menjawab, “Aku mengasihimu.” Mereka meneruskan praktik ini selama berbulan-bulan. Profesor itu mengatakan bahawa ini mewujudkan ikatan yang kuat dengan para pelajarnya, dan sekarang dia merasakan mereka ialah “keluarganya”.

Dalam 1 Yohanes 4:10-21, kita sebagai anggota keluarga Tuhan menemukan beberapa alasan untuk mengatakan “Aku mengasihi-Mu” kepada-Nya: Dia mengutus Anak-Nya sebagai korban untuk dosa kita (ayat 10). Dia memberi kita Roh-Nya untuk tinggal dalam kita (ayat 13, 15). Kita dapat selalu yakin pada kasih-Nya (ayat 16), dan kita tidak perlu takut akan penghakiman (ayat 17). Dia memungkinkan kita mengasihi Dia dan orang lain “kerana Allah mengasihi kita terlebih dahulu” (ayat 19).

Pada masa akan datang apabila anda berkumpul dengan umat Tuhan, luangkan masa untuk berkongsi alasan-alasan anda mengasihi Dia. Buatlah rantaian “Aku mengasihi-Mu” kepada Tuhan, ini akan membawa pujian kepada-Nya dan mendekatkan anda dan saudara seiman.