Perayaan Tahun Baru Cina berdasarkan kalender Cina, diraikan di pelbagai tempat oleh keluarga berbangsa Cina. Ia biasanya diraikan pada akhir Januari hingga pertengahan Februari. Pada waktu ini, keluarga-keluarga akan berkumpul dengan mengamalkan beberapa tradisi penting seperti membeli dan mengenakan pakaian baru, membersihkan rumah dan membayar hutang. Segala aktiviti ini mengingatkan kita untuk melupakan masa lampau dan memulakan tahun dengan permulaan baru.

Tradisi ini juga mengingatkan saya tentang kehidupan baru dalam Kristus. Tidak kira siapa diri kita yang dahulu atau apa yang telah kita lakukan, kita boleh melupakan semuanya di belakang. Kita boleh berhenti menyalahkan diri tentang apa yang terjadi pada masa lalu dan melepaskan rasa bersalah, kerana kita tahu bahawa kita telah diampuni sepenuhnya disebabkan kematian Yesus di kayu salib. Justeru itu, kita boleh ada permulaan yang baru dan menyedari kita boleh bergantung kepada Roh Kudus yang dapat mengubah kita semakin menjadi seperti Yesus setiap hari.

Sebab itulah Paulus mengingatkan orang percaya bahawa “yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula” (2 Korintus 5:17). Kita juga boleh berkata demikian kerana kebenaran ini sederhana tetapi berkuasa: Tuhan telah mendamaikan kita dengan-Nya melalui Kristus, dan Dia tidak lagi mengingat dosa-dosa kita (ayat 19).

Orang di sekitar mungkin tidak bersedia untuk melupakan kesalahan masa lalu kita, tetapi kita boleh yakin bahawa di mata Tuhan kita telah bebas daripada hukuman (Roma 8:1). Seperti yang dikatakan Paulus, “Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita?” (ayat 31). Marilah kita menikmati permulaan baru yang telah diberikan Tuhan melalui Yesus.