“Sentiasa letakkan tangan kamu di belakang. Kamu pasti ok.” Itulah nasihat penuh kasih yang selalu diberikan oleh suami Jan sebelum dia berbicara kepada sekumpulan orang. Apabila dia mendapati dirinya cuba menarik perhatian orang lain atau berusaha untuk mengawal sesuatu keadaan, dia akan mengekalkan postur ini kerana ini akan meletakkan dirinya dalam keadaan fikiran yang mendengar dan boleh diajar. Cara ini mengingatkan dirinya untuk mengasihi orang lain terlebih dahulu, menjadi rendah hati dan bersedia untuk mendengar suara Roh Kudus.

Pemahaman Jan tentang kerendahan hati berasal daripada kesedaran raja Daud bahawa segalanya berasal daripada Tuhan. Daud berkata, “Engkaulah Tuhanku; tiada yang baik bagiku selain Engkau” (Mazmur 16:2). Dia belajar mempercayai Tuhan dan mencari pertolongan-Nya: “pada waktu malam suara hatiku mengajar aku” (ayat 7). Dia tahu bahawa apabila Tuhan menyertainya, tiada suatu pun dapat menggoncangnya (ayat 8). Dia tidak perlu membanggakan diri kerana dia percaya kepada Tuhan perkasa yang mengasihinya.

Ketika kita mencari Tuhan setiap hari, memohon pertolongan-Nya sewaktu kita kecewa atau memberi kita perkataan untuk berkata-kata ketika lidah terasa kelu, kita akan melihat Dia bekerja dalam hidup kita. Kita “bekerjasama dengan Tuhan,” seperti yang dikatakan Jan; dan menyedari bahawa jika kita melakukan sesuatu dengan baik, ini disebabkan oleh pertolongan Tuhan.

Kita boleh memperlakukan orang lain dengan kasih, dengan meletakkan tangan kita di belakang dalam kerendahan hati untuk mengingatkan kita bahawa segala yang kita miliki berasal daripada Tuhan.