Saya duduk di jeti sambil membaca Alkitab, kemudian memerhatikan suami saya memancing semasa percutian kami. Tiba-tiba seorang pemuda datang dan mencadangkan kami menggunakan umpan lain. Dia memandang ke arah saya sambil kelihatan kegelisahan, “Aku pernah masuk penjara,” katanya. Dia menunjuk ke arah Alkitab saya dan mengeluh, “Adakah kamu fikir Tuhan mempedulikan orang seperti saya?”.

Saya membuka Matius 25 dan membacanya dengan lantang apa yang dikatakan Yesus tentang pengikut-pengikut-Nya melawat orang yang di penjara.

“Adakah benar Alkitab berkata demikian tentang orang yang dipenjarakan?” Air matanya berlinangan ketika saya berkongsi bagaimana Tuhan menganggap kebaikan yang ditunjukkan kepada anak-anak-Nya adalah seperti menunjukkan kasih kepada Tuhan sendiri (ayat 31-40).

“Aku harap ibu bapa aku juga dapat memaafkanku.” Dia menundukkan kepalanya. “Sila tunggu aku sebentar.” Dia pergi mengambil Alkitabnya yang sudah kusut. “Boleh tunjukkan aku ayat tadi?

Saya mengangguk. Saya dan suami memeluknya sambil berdoa untuk dia dan ibu bapanya. Kami bertukar nombor telefon dan terus mendoakannya .

Ada masanya kita berasa tidak dikasihi, tidak diingini, tidak diperlukan, malah berasa seperti terpenjara secara fizikal atau emosi (ayat 35-36). Kita memerlukan peringatan tentang belas kasihan dan pengampunan Tuhan. Kita juga berpeluang untuk menyokong orang lain yang bergelut dengan perasaan seperti ini. Kita boleh menjadi sebahagian daripada rancangan penebusan Tuhan ketika kita menyebarkan kebenaran dan kasih-Nya ke mana-mana sahaja kita pergi.