Sewaktu rakan saya, Floss masih terjaga pada waktu malam, dia berfikir tentang lirik lagu “My Jesus I Love Thee.” Dia menamakan lagu itu sebagai “lagu tengah malam” kerana ia membantunya mengingati janji Tuhan dan alasan dia mengasihi Tuhan.
Tidur adalah sebahagian keperluan hidup yang penting, tetapi kadang-kadang kita sukar tidur nyenyak. Pada masa-masa tertentu kita dapat merasakan suara Roh Kudus mengingatkan kita tentang dosa yang belum diakui. Kita mula bimbang tentang pekerjaan, hubungan, kewangan, kesihatan atau anak-anak kita. Seterusnya, bayangan kita tentang masa depan yang buruk mula berlegar-legar dalam fikiran kita. Kita menganggap bahawa kita telah tertidur untuk sebentar, tetapi apabila kita melihat jam, kita menyedari bahawa masa hanya berlalu untuk seketika.
Dalam Amsal 3:19-24, Raja Salomo mencadangkan bahawa kita mendapat manfaat tidur apabila kita memelihara hikmat, pengertian dan pengetahuan daripada Tuhan. Malah dia menyatakan, “hidupmu akan terpelihara … Kamu akan tidur tanpa berasa takut, dan tidur nyenyak sepanjang malam” (ayat 22, 24).
Mungkin kita memerlukan “lagu tengah malam”, doa atau ayat Alkitab yang berbisik dengan lembut untuk membantu kita mengalihkan fikiran yang berkecamuk kepada fikiran yang berfokus kepada Tuhan serta sifat-Nya. Hati nurani yang murni dan penuh kesyukuran terhadap kesetiaan dan kasih Tuhan boleh membantu kita tidur dengan nyenyak.
ILHAM
Alkitab menerapkan gambaran untuk menerangkan penciptaan alam sekitar, ini kelihatan ganjil bagi para pembaca moden: Perjanjian Lama menghuraikan bumi sebagai menduduki di atas tiang penyangga (lihat 1 Samuel 2:8; Ayub 9:6; 38:4-11; Mazmur 18:15-16; 75:3; Amsal 8:22-29). Hari ini, kita mungkin menganggap huraian ini cuma bersifat metafora. Tetapi bagi para pembaca pertama, ia menunjukkan bahawa Yahweh ialah Tuhan sejati.Dalam bayangan dunia kuno, planet-planet lain bukannya beredar mengelilingi matahari, tetapi bumi adalah berbentuk meja dipasangkan pada tiang-tiang besar di atas ombak kehuru-haruan, yang kedalamannya tidak dapat diukur. Di atasnya, sebuah dom besar mengasingkan tanah kering dari air. Semua fenomena alam ini—bumi, air, langit—diciptakan oleh tuhan-tuhan yang suka berperang.
Kitab Amsal 3:19-20 mengisytiharkan bahawa Tuhan sendiri yang menciptakan bumi. Malah Tuhan yang sama ini—yang hikmat-Nya dilihat dalam keagungan ciptaan—membekalkan kita dengan hikmat-Nya supaya kita boleh menjalani kehidupan ini dengan cara yang memuliakan-Nya.