Aaron Burr dengan cemas menunggu keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat disebabkan oleh undian yang sama. Pada tahun 1800, apabila dia menghadapi persaingan sengit dengan Thomas Jefferson untuk pemilihan jawatan Presiden Amerika Syarikat, Burr berkeyakinan bahawa Dewan akan mengisytiharkannya sebagai pemenang. Ternyata dia kalah dan kepahitan menghantui jiwanya. Kurang daripada 4 tahun kemudian, disebabkan perasaan benci terhadap Alexander Hamilton kerana tidak menyokong pencalonannya, Burr menembak mati Hamilton dalam perang tanding. Akibat rasa marah terhadap pembunuhan tersebut, negaranya membelakanginya dan Burr meninggal dunia sebagai orang tua yang menderita kesuraman.

Permainan kuasa politik menjadi sebahagian tragedi dalam sejarah. Ketika Raja Daud hampir kehilangan nyawa, anaknya Adonia merekrut panglima Daud dan imam utama untuk menjadikannya raja (1 Raja-Raja 1:5-8). Tetapi Daud telah memilih Salomo sebagai raja (ayat 17). Dengan bantuan Nabi Natan, pemberontakan itu dapat dihentikan (ayat 11-53). Adonia terlepas daripada hukuman, tetapi dia masih tidak insaf akan kesalahannya. Malah dia sekali lagi berkomplot untuk merebut takhta. Akhirnya, Salomo menjatuhkan hukuman mati ke atas Adonia (2:13-25).

Sifat manusiawi kita cenderung menginginkan sesuatu yang bukan milik kita! Tidak kira betapa gigih kita mengejar kuasa, martabat atau harta benda, kita tidak akan berasa puas hati. Kita sentiasa menginginkan sesuatu yang lebih. Tidak seperti Yesus yang “merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati—iaitu mati di atas salib” (Filipi 2:8).

Secara ironinya, mengejar impian kita dengan mementingkan diri tidak akan memenuhi keinginan kita yang benar dan mendalam. Menyerahkan hasil sesuatu perkara kepada Tuhan adalah satu-satunya jalan untuk mendapat kedamaian dan sukacita.