Semasa program pembelajaran pada masa cuti, anak lelaki saya membaca sebuah buku tentang budak lelaki yang ingin mendaki gunung Alp di Switzerland. Budak lelaki itu menghabiskan masa berlatih yang panjang demi mencapai tujuannya. Apabila akhirnya dia mula mendaki ke puncak gunung, keadaan tidak berjalan seperti yang dirancang. Ketika rakan sepasukan mereka jatuh sakit di lereng gunung, budak itu memutuskan untuk menemani dan membantu rakannya yang sakit itu, dan tidak terus mendaki gunung.

Di dalam kelas, guru anak saya bertanya, “Adakah watak budak dalam buku itu dianggap gagal kerana dia tidak dapat mendaki gunung?” Seorang pelajar menjawab, “Ya, kerana dia ditakdirkan untuk gagal.” Tetapi ada pelajar yang tidak bersetuju dan mengatakan bahawa budak itu bukannya gagal kerana dia mengorbankan sesuatu yang penting untuk menolong orang lain.

Ketika kita mengetepikan rancangan kita dan mengambil berat tentang orang lain, kita bertindak seperti Yesus. Yesus mengorbankan diri dan bukannya memiliki tempat tinggal, wang dan penerimaan masyarakat, semata-mata untuk berkongsi kebenaran Tuhan di banyak tempat. Akhirnya, Dia menyerahkan nyawa-Nya demi membebaskan kita daripada dosa dan menunjukkan kasih Tuhan kepada kita (1 Yohanes 3:16).

Kejayaan di dunia jauh berbeza daripada kejayaan di mata Tuhan. Dia menghargai kita yang berbelas kasihan untuk menyelamatkan orang yang berada dalam kekurangan dan kesakitan (ayat 17). Dia berkenan kepada kita yang melindungi orang lain. Dengan pertolongan Tuhan, kita dapat menyesuaikan nilai hidup kita dengan Dia serta mengabdikan diri untuk mengasihi Dia dan orang lain. Itulah pencapaian terpenting.