Semasa program pembelajaran pada masa cuti, anak lelaki saya membaca sebuah buku tentang budak lelaki yang ingin mendaki gunung Alp di Switzerland. Budak lelaki itu menghabiskan masa berlatih yang panjang demi mencapai tujuannya. Apabila akhirnya dia mula mendaki ke puncak gunung, keadaan tidak berjalan seperti yang dirancang. Ketika rakan sepasukan mereka jatuh sakit di lereng gunung, budak itu memutuskan untuk menemani dan membantu rakannya yang sakit itu, dan tidak terus mendaki gunung.
Di dalam kelas, guru anak saya bertanya, “Adakah watak budak dalam buku itu dianggap gagal kerana dia tidak dapat mendaki gunung?” Seorang pelajar menjawab, “Ya, kerana dia ditakdirkan untuk gagal.” Tetapi ada pelajar yang tidak bersetuju dan mengatakan bahawa budak itu bukannya gagal kerana dia mengorbankan sesuatu yang penting untuk menolong orang lain.
Ketika kita mengetepikan rancangan kita dan mengambil berat tentang orang lain, kita bertindak seperti Yesus. Yesus mengorbankan diri dan bukannya memiliki tempat tinggal, wang dan penerimaan masyarakat, semata-mata untuk berkongsi kebenaran Tuhan di banyak tempat. Akhirnya, Dia menyerahkan nyawa-Nya demi membebaskan kita daripada dosa dan menunjukkan kasih Tuhan kepada kita (1 Yohanes 3:16).
Kejayaan di dunia jauh berbeza daripada kejayaan di mata Tuhan. Dia menghargai kita yang berbelas kasihan untuk menyelamatkan orang yang berada dalam kekurangan dan kesakitan (ayat 17). Dia berkenan kepada kita yang melindungi orang lain. Dengan pertolongan Tuhan, kita dapat menyesuaikan nilai hidup kita dengan Dia serta mengabdikan diri untuk mengasihi Dia dan orang lain. Itulah pencapaian terpenting.
ILHAM
Kadangkala Yohanes dirujuk sebagai rasul yang penuh kasih. Kebanyakan kitab dan surat-surat yang membawa namanya juga tertumpu pada topik kasih. Petikan hari ini mempunyai elemen bagi kedua-dua pengenalan dan penerapan. Kasih yang mengambil tindakan adalah kasih yang mengambil langkah-langkah konkrit untuk menyatakan dirinya—mengenal pasti siapa itu pengikut Kristus, mereka yang “hidup dan sudah meninggalkan kematian” (1 Yohanes 3:14).Untuk menunjukkan apa rupa kasih, Yohanes memberi contoh-contoh kasih yang disertakan tindakan daripada Perjanjian Lama, kehidupan Yesus dan pengajaran Yesus. Kasih tidak berkelakuan seperti Kain, yang membunuh adiknya sendiri (ayat 12; lihat Kejadian 4:1-16). Sebaliknya, kasih meneladani Yesus yang menyerahkan hidup-Nya (1 Yohanes 3:16). Akhirnya, kasih memerhatikan keperluan fizikal orang lain, seperti ditunjukkan dalam kisah orang Samaria yang baik hati (ayat 17; lihat Lukas 10:25-37).