Apabila kita memikirkan sejarah para mubaligh, pasti nama George Liele (1750-1820) tidak terlintas dalam fikiran. Sepatutnya kisahnya harus dikenang. Sebagai abdi sejak lahir, Liele percaya kepada Kristus di Georgia dan mendapat kebebasannya sebelum Perang Revolusi Amerika. Dia membawa Injil tentang Yesus ke Jamaica dan melayani abdi-abdi ladang di sana. Dia menjadi pastor dan mengasaskan 2 gereja bagi orang berkulit hitam di Savannah, Georgia—salah satunya dianggap sebagai “gereja induk Black Baptists.”

Pelayanan Liele yang luar biasa dalam Pemerintahan Tuhan mungkin dilupakan oleh beberapa orang, tetapi Tuhan tidak pernah melupakannya. Pekerjaan yang anda lakukan untuk Tuhan juga tidak akan dilupakan-Nya. Surat kepada orang-orang Ibrani mendorong kita, “Allah bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya, ataupun kasih yang kamu tunjukkan kepada-Nya dengan menolong sesama saudara Kristian, baik dahulu mahupun sekarang” (6:10). Kesetiaan Tuhan tidak boleh dipandang rendah, kerana Dia benar-benar tahu dan mengingati segala yang dilakukan atas nama-Nya. Kitab Ibrani mendorong kita, “Hiduplah seperti mereka yang menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah, kerana percaya kepada-Nya dan bersabar” (ayat 12).

Sekiranya kita melayani di belakang tabir di gereja atau komuniti, mungkin kita mudah terasa bahawa apa yang kita lakukan itu tidak dihargai. Teguhkanlah hati. Sama ada pelayanan kita diketahui dan dihargai atau tidak oleh orang-orang di sekeliling kita, Tuhan itu setia. Dia tidak pernah melupakan kita.