Berita tersebar dengan cepat dalam komuniti petani kecil. David mendapati ladang yang pernah dimiliki keluarganya selama beberapa dekad kini dilelong oleh pihak bank setelah bertahun-tahun. Setelah membuat banyak pengorbanan dan menyimpan wang, David tiba di tempat jualan lelong dengan hampir 200 petani yang lain untuk menyertai jualan tersebut. Adakah bidaan David yang sedikit itu cukup? Dia membuat bidaan pertama, sambil menarik nafas panjang apabila jurulelong meminta bidaan yang lebih tinggi. Orang ramai tetap senyap sehingga pukulan tukul kayu kedengaran. Ternyata para petani lain telah mengutamakan keperluan David dan keluarganya dengan mengetepikan keuntungan mereka sendiri.

Kisah pengorbanan dan kebaikan para petani ini menggambarkan nasihat rasul Paulus kepada para pengikut Kristus tentang cara hidup. Paulus menasihati kita supaya tidak mengikuti “kebiasaan dunia” (Roma 12:2), yang mengutamakan kepentingan diri terlebih dahulu daripada keperluan orang lain dan berebut-berebut untuk memelihara kepentingan diri. Sebaliknya, kita boleh mempercayai Tuhan memenuhi keperluan kita ketika melayani orang lain. Apabila Roh Kudus memperbaharui cara kita berfikir, kita dapat bertindak balas terhadap setiap situasi dengan kasih dan motif untuk memuliakan Tuhan. Mengutamakan keperluan orang lain terlebih dahulu dapat membantu kita tidak menganggap diri lebih daripada yang sepatutnya kerana Tuhan mengingatkan bahawa kita adalah sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar, iaitu jemaah Tuhan (ayat 3-4).

Roh Kudus menolong orang percaya memahami dan mentaati Alkitab. Dia memberi kuasa kepada kita untuk memberi dan mengasihi dengan murah hati supaya kita dapat maju bersama sebagai satu tubuh Kristus.