Ketika bumbung bangunan Katedral Notre-Dame di Paris terbakar pada April 2019, tiang kayu lama dan kepingan timah turut menjadi relau yang sangat panas sehingga kebakaran tidak dapat dibendung. Selepas puncak menara katedral runtuh secara mendadak, perhatian mulai berubah ke arah menara loceng. Sekiranya kerangka kayu loceng besi itu turut terbakar, kedua-dua menara akan runtuh dan katedral akan musnah.
Justeru itu, Jeneral Gallet memanggil kembali para bomba yang bertugas demi keselamatan mereka. Dengan segera, Komander dari Jabatan Bomba memikirkan tindakan selanjutnya. Seorang anggota bomba bernama Remi, menghampirinya dengan perasaan gelisah. “Tuan jeneral,” katanya, “Saya mencadangkan kita menghalakan hos air ke bahagian luar menara.” Memandangkan keadaan bangunan yang rapuh, komander menolak ideanya. Tetapi Remi tetap berkeras. Jeneral Gallet harus membuat keputusan dengan segera: mengikuti nasihat anggota bomba berpangkat rendah, atau membiarkan katedral runtuh.
Alkitab mengatakan banyak hal tentang menerima nasihat. Walaupun kadangkala konteksnya adalah mengenai anak-anak menghormati orang tua mereka (Amsal 6:20-23), tetapi ini bukan halnya selalu. Amsal menyatakan, “orang bijak mendengarkan nasihat” (12:15), peperangan dapat dimenangi dengan cara ini (24:6), dan hanya orang bodoh yang mengabaikannya (12:15). Orang bijak mendengar nasihat yang baik tanpa mengira usia atau pangkat orang yang memberi nasihat.
Akhirnya, Jeneral Gallet mendengarkan nasihat Remi. Bingkai loceng yang terbakar dapat dipadamkan tepat pada waktunya dan katedral diselamatkan. Apakah masalah dalam kehidupan anda yang memerlukan nasihat salih pada hari ini? Kadangkala Tuhan memberi petunjuk kepada orang yang rendah hati melalui perkataan orang yang berpangkat rendah.