Semasa kami melawat kapal pengangkut pesawat, juruterbang jet pejuang menjelaskan bahawa pesawat memerlukan angin berkelajuan 56 kilometer per jam untuk berlepas dari landasan yang pendek. Juruterbang mengubah haluan kapalnya ke angin untuk mendapatkan kelajuan yang konsisten. Saya bertanya, “Bukankah seharusnya angin datang dari bahagian belakang pesawat?” Juruterbang itu menjawab, “Tidak. Jet harus terbang berlawanan arah angin. Itulah satu-satunya cara agar jet itu dapat terbang.”
Tuhan memanggil Yosua memimpin umat-Nya menempuhi “angin” yang berlawanan arah dan menunggu mereka di tanah perjanjian. Yosua memerlukan 2 perkara. Secara dalaman, dia perlu “yakin dan berani” (Yosua 1:7); Secara luaran, dia perlu mengambil cabaran. Ini termasuklah memimpin ribuan orang Israel dalam perkara harian, menawan kota-kota besar (6:1-5), mengalami kekalahan yang melemahkan semangat (7:3-5), pencurian yang dilakukan Akhan (ayat 16-26), dan pertempuran yang berterusan (fasal 10-11).
“Angin” yang bertiup ke wajah Yosua akan mengangkat hidupnya selagi daya penggerak datang daripada mentaati perintah Tuhan. Tuhan berkata, “pastikanlah supaya engkau mentaati seluruh Taurat … Jangan lalaikan mana-mana bahagian Taurat itu … Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau mentaati segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian engkau akan makmur dan berjaya” (1:7-8).
Adakah anda bertekad untuk mengikut Tuhan tidak kira apa pun cara-Nya? Jika demikian, carilah cabaran. Terbanglah dengan berani berlawanan dengan arah angin dan rasakan semangat anda yang melambung tinggi.