Harriet Tubman tidak dapat membaca atau menulis. Semasa remaja, dia mengalami kecederaan kepala disebabkan oleh majikan yang kejam. Kecederaan tersebut mengakibatkan dia mengalami sawan dan kerap tidak sedar diri seumur hidup. Tetapi setelah dia melarikan diri daripada perhambaan, Tuhan memakai dia menyelamatkan 300 hamba yang lain.
Orang-orang yang diselamatkannya menggelar dia “Musa”. Harriet dengan berani melakukan perjalanan sebanyak 19 kali untuk kembali ke kawasan selatan sebelum tercetusnya Perang Saudara untuk menyelamatkan para hamba yang lain. Dia tetap bertahan walaupun menyedari bahaya yang dihadapinya. Dia seorang yang setia kepada Yesus. Dalam setiap perjalanan, dia membawa Alkitab dan menyanyikan pujian kepada Tuhan. Dia meminta orang lain membacakan ayat-ayat Alkitab yang sering diingat dan dikutipnya. “Aku sentiasa berdoa” katanya, “tentang tugasku, bercakap dengan Tuhan di mana-mana sahaja.“ Dia memuji Tuhan untuk kejayaan yang sekecilpun. Kehidupannya adalah gambaran jelas tentang nasihat rasul Paulus kepada orang-orang Kristian zaman awal: “Hendaklah kamu sentiasa bersukacita, dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus” (1 Tesalonika 5:16-18).
Ketika kita bersandar kepada Tuhan saat ini dan tekun berdoa dalam hidup, serta memuji Dia di sebalik kesulitan kita, Dia memberi kita kekuatan untuk menyelesaikan tugas yang paling mencabar. Penyelamat kita lebih besar berbanding apa pun yang kita hadapi dan Dia akan memimpin kita ketika kita mencari Dia.