Amos seorang peramah, tetapi suka menguasai orang lain, manakala Danny seorang penyendiri tanpa keyakinan diri. Tetapi hairannya kedua-dua mereka ini boleh menjadi kawan baik. Selama sedekad mereka menghabiskan masa ketawa dan belajar bersama. Suatu hari, hasil karya mereka bakal menerima Hadiah Nobel. Tetapi Danny tidak lagi bertahan dengan sikap Amos yang mementingkan diri, lalu berkata bahawa mereka bukan lagi kawan.

3 hari kemudian, Amos menerima panggilan telefon dengan berita buruk. Doktor mendapati dia menghidapi kanser dan dijangkakan hanya mempunyai 6 bulan untuk hidup. Hati Danny hancur. Dia berkata, “apa pun yang berlaku sebelumnya, kita tetap kawan.”

Paulus seorang yang bervisi tinggi, manakala Barnabas seorang penggalak berhati lembut. Roh Kudus membawa mereka menjadi satu pasukan dan mengutus mereka menjadi mubaligh (Kisah Rasul-Rasul 13:2-3). Mereka menyampaikan firman Tuhan dan membina jemaah sehingga berlakunya perselisihan antara mereka oleh sebab Markus meninggalkan mereka di Pamfilia. Barnabas ingin memberi peluang kedua kepada Markus, tetapi Paulus berkata dia tidak boleh lagi dipercayai. Oleh itu mereka berpisah (15:36-41).

Paulus akhirnya memaafkan Markus. Dia mengakhiri ketiga-tiga suratnya dengan salam atau pujian untuk Markus (Kolose 4:10; 2 Timotius 4:11; Filemon 1:24). Kita tidak tahu apa yang terjadi kepada Barnabas. Adakah dia hidup cukup lama untuk berdamai dengan Paulus pada ketika itu? Semoga hal itu berlaku.

Apa pun keadaan anda hari ini, cubalah menghubungi mereka yang pernah ada konflik dengan anda. Inilah waktunya untuk memberitahu dan memperlihatkan betapa anda mengasihi mereka.