Pada awal abad ke-20, seorang penyair berbangsa Itali, F. T. Marinetti, mengasaskan Futurisme, iaitu gerakan artistik yang menolak masa lalu, mencemuh konsep tradisional tentang keindahan, dan sebaliknya mengagungkan peralatan mesin. Pada tahun 1909, Marinetti menulis “Manifesto Futurisme” yang menyatakan “penghinaan terhadap wanita,” mengagungkan “keganasan fizikal” serta menegaskan, “Kami ingin menyanjung peperangan.” Manifesto tersebut menyimpulkan: “Kita berdiri di puncak dunia dan memberi cabaran kepada bintang-bintang!”
5 tahun selepas manifesto Marinetti, peperangan moden benar-benar berlaku. Perang Dunia I tidak membawa kegemilangan. Marinetti pula meninggal pada tahun 1944. Bintang-bintang masih berada di tempatnya dan tidak ambil peduli.
Raja Daud menyanyikan lagu-lagu puitis tentang bintang tetapi dengan perspektif yang sangat berbeza. Dia menulis, “Apabila aku melihat langit yang telah Engkau ciptakan, bulan dan bintang yang Engkau tempatkan, apakah manusia itu sehingga Engkau ingat akan mereka? Mereka insan belaka, namun Engkau peliharakan mereka” (Mazmur 8:3-4). Persoalan Daud bukan disebabkan ketidakpercayaan kepada Tuhan, melainkan kekagumannya yang rendah diri. Dia tahu bahawa Tuhan mencipta alam semesta yang luas ini kerana Dia sangat mempedulikan kita. Tuhan tahu setiap perincian kita—yang baik, buruk, rendah hati, sombong, bahkan yang tidak masuk akal.
Adalah sia-sia untuk mencabar bintang. Lebih baik mencabar diri kita untuk memuji Sang Pencipta.
ILHAM
Mazmur 8 memuji Tuhan sebagai Tuhan bagi segala ciptaan (ayat 9). Pemazmur itu mengakui bahawa langit dengan bulan dan bintang-bintangnya—dilihat oleh bangsa-bangsa di sekeliling Israel sebagai tuhan—cuma adalah “buatan [jari Tuhan]” (ayat 4, TB).Disebabkan oleh kuasa hebat Tuhan, pemazmur itu merendah diri dan berasa kagum akan tempat tinggi yang diberikan Tuhan kepada manusia, yang telah ditugaskan untuk menjaga ciptaan (ayat 6-8) dan Tuhan telah “memahkotai mereka dengan kemuliaan dan kehormatan” (ayat 6). Penghuraian yang kita temukan dalam Mazmur 8 bagi maruah yang diberikan kepada manusia adalah istimewa apabila dibandingkan karya kesusasteraan Timur Dekat Kuno yang lain, yang menggambarkan lelaki dan perempuan dicipta untuk menjadi hamba bagi tuhan-tuhan yang kemudian ragu-ragu tentang kewujudan manusia itu betul.