Hidung tikus kecil (dormouse) itu bergerak-gerak. Pastinya ada sesuatu yang lazat di sekitarnya. Aroma itu membawa tikus itu kepada bekas biji benih yang lazat untuk burung. Tikus itu memanjat rantai yang menghubungkan bekas makanan burung, masuk melalui pintu bekas dan memakannya secara lahap sepanjang malam. Hanya pada waktu pagi tikus itu menyedari satu masalah besar. Burung-burung mematuk tikus itu melalui pintu bekas, tetapi binatang yang kecil itu tidak dapat melarikan diri kerana saiz tubuhnya kini menjadi 2 kali ganda besar daripada saiz asal!
Pintu boleh membawa kita sama ada ke tempat-tempat yang indah ataupun yang berbahaya. Menurut nasihat Salomo dalam Amsal 5, salah satu ciri pintu yang perlu dielakkan ialah godaan seksual. Walaupun dosa seksual mungkin memikat hati, Salomo mengatakan bahawa yang tertinggal hanyalah penderitaan jika dosa ini dilakukan (5:3-6). Lebih baik menjauhi godaan ini kerana jika anda masuk melalui pintu tersebut, anda akan terperangkap dan kehilangan kehormatan, bahkan harta anda dirampas oleh orang yang anda tidak kenal (ayat 7-11). Sebaliknya, Salomo menasihati kita supaya menikmati keintiman dengan pasangan suami atau isteri kita sendiri (ayat 15-20). Nasihatnya ini juga boleh diterapkan untuk menjauhi dosa-dosa lain (ayat 21-23). Sama ada godaan untuk makan berlebihan, berbelanja berlebihan atau sesuatu yang lain, Tuhan dapat menolong kita mengelakkan pintu yang akan memerangkap kita.
Tikus itu pasti sangat gembira apabila tuan rumah itu membuka pintu bekas bijih benih. Kita bersyukur kerana tangan Tuhan juga bersedia untuk membebaskan kita jika kita terperangkap. Tetapi sebelum itu berlaku, marilah kita meminta kekuatan-Nya untuk mengelakkan pintu yang akan memerangkap kita.
ILHAM
Hikmat dalam kitab Amsal merangkumi pelbagai aspek, sehingga dalam kitab Amsal 1:2-7 (yang memperkenalkan kitab itu), tujuh istilah telah digunakan untuk mencerminkan kelebaran dan hikmatnya: “memahami” (ayat 2)—kebolehan untuk mengenal pasti isu-isu; “hidup dengan bijaksana” (ayat 3)—pengurusan bijak; “berfikiran tajam” (ayat 4)—pertimbangan baik; “pengetahuan” (ayat 4, 7); “bijaksana” (ayat 4)—kebolehan untuk merancang dahulu dan mengaturkan tindakan dengan pandangan jauh; “menambah pengetahuan” dan “membimbing orang terpelajar” (ayat 5).Satu cara lain untuk melihat kualiti hikmat ini adalah memandangnya sebagai rakan hikmat, seperti pelayan di majlis perkahwinan. Ke mana hikmat pergi, pelayan pun mengikut, kerana pelayan berhubung kepadanya. Lihat Amsal 8:12-14 tentang kesaksian hikmat dan sifatnya.