Penulis Marilyn McEntyre, berkongsi kisah seorang rakan yang mengajarnya bahawa “pujian dan kesyukuran ialah kata lawan bagi iri hati.” Meskipun rakannya itu kurang upaya dan menghidapi penyakit kronik yang membatasi kemampuannya untuk mengembangkan bakat seperti yang diharapkannya, dia mampu memperlihatkan sukacita dan bergembira dengan orang lain melalui caranya tersendiri. Hal ini menjadikan setiap pertemuannya dengan orang lain penuh dengan kesyukuran sebelum dia meninggal dunia.

Persepsi “pujian dan kesyukuran ialah kata lawan bagi iri hati” masih tersimpan dalam hati saya sehingga hari ini. Ia mengingatkan saya tentang rakan-rakan saya yang kelihatan menjalani kehidupan seperti itu: tidak membuat perbandingan dan betul-betul bergembira untuk orang lain.

Iri hati ialah perangkap yang mudah menjatuhkan kita. Ia timbul daripada kelemahan, luka dan ketakutan kita yang mendalam. Ia berbisik bahawa jika kita boleh menjadi seperti seseorang yang hebat, kita tidak akan bergelut seperti ini atau berasa teruk.

Seperti yang dikatakan Petrus dalam 1 Petrus 2, satu-satunya cara untuk “buang” segala penipuan disebabkan oleh iri hati adalah berakar umbi dalam kebenaran, agar “mengalami” nikmat yang dalam, iaitu “kebaikan Tuhan” (ayat 1-3). Kita boleh “saling mengasihi dengan sepenuh hati” (1:22) apabila kita mengetahui bahawa sumber sukacita sebenar kita adalah “firman Allah yang hidup dan kekal” (ayat 23).

Kita boleh berhenti membuat perbandingan apabila kita ingat siapa kita sebenarnya, iaitu “bangsa yang terpilih. … umat Allah sendiri.” Kita dipanggil “keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang” (2:9).