Pada tahun 2013, pelakon British, David Suchet sedang menjalani penggambaran episod TV terakhir sebagai Hercule Poirot, iaitu detektif Belgium kegemaran Agatha Christie, penulis novel jenayah. Dia juga membintangi pertunjukan pentas ketika dia memainkan “watak paling utama dalam hidupnya.” Antara projek-projek tersebut, dia merakam versi audio seluruh Alkitab bahasa Inggeris, daripada kitab Kejadian hingga Wahyu dengan 752,702 patah perkataan selama lebih daripada 200 jam.
Suchet, yang percaya kepada Yesus setelah membaca kitab Roma dalam Alkitab yang ditemukannya di sebuah hotel, mengatakan bahawa projek itu telah memenuhi “cita-citanya selama 27 tahun. Saya berasa teruja . Saya telah melakukan banyak pengkajian dalam setiap bahagiannya sehingga saya tidak sabar untuk meneruskan projek itu.” Kemudian dia mendermakan semua upah yang diterimanya.
Rakamannya tetap menjadi contoh inspirasi bagaimana kita memuliakan Tuhan dengan menggunakan pemberian, kemudian berkongsinya. Petrus menggesa orang Kristian menggunakan kurnia-kurnia dengan baik dalam suratnya kepada orang-orang percaya pada abad pertama. Mereka dianiayai kerana menyembah Yesus, dan bukan Kaisar. Mereka dicabar supaya fokus kepada Tuhan dengan menggunakan kurnia rohani mereka. “Sesiapa yang menyampaikan perkhabaran, harus menyampaikan perkhabaran daripada Allah” (1 Petrus 4:11). Kita dapat mengembangkan semua kurnia “supaya dalam segala hal Allah dimuliakan melalui Yesus Kristus.”
Suchet mempersembahkan bakatnya kepada Tuhan. Kita juga boleh melakukan perkara yang sama. Apa pun yang diberikan Tuhan kepada anda, gunakanlah dengan baik untuk kemuliaan-Nya.
Bagaimanakah anda menunjukkan bakat dan kurnia rohani yang diberikan Tuhan? Apakah yang dapat anda lakukan untuk menggunakannya dengan lebih baik demi kemuliaan Tuhan?
Bapa Syurgawi, kadangkala aku mensia-siakan kurnia dan bakat aku. Aku ingin lebih komited untuk menggunakan kurnia-kurnia yang Engkau telah berikan kepadaku supaya orang dapat memuji Engkau.
Dalam 1 Petrus 4:10, Petrus menekankan kepentingan kurnia rohani: “Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia yang berlainan daripada Allah. Oleh itu sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, kamu mesti menggunakan kurnia-kurnia itu untuk kepentingan semua orang.” Semua orang yang percaya kepada Yesus telah diberikan kurnia rohani untuk melayani Tuhan. Rasul Paulus menamakan sebilangan kurnia ini dalam tiga suratnya. Kurnia-kurnia yang disebutkan dalam Roma 12:6-8 termasuklah “mengkhabarkan berita daripada Allah”, “menolong orang lain”, “mengajar”, “menggalakkan orang lain”, “berkongsi milik dengan orang lain”, dan ”menjadi pemimpin”. 1 Korintus 12:8-10 meliputi “menyampaikan perkhabaran yang penuh dengan kebijaksanaan”, “menyampaikan pengetahuan tentang Allah”, “kepercayaan yang luar biasa kepada Kristus”, “kuasa untuk menyembuhkan orang sakit”, “kuasa untuk melakukan mukjizat”, “kebolehan untuk membezakan-bezakan kurnia yang daripada Roh Allah dan yang bukan daripada Roh Allah”, “bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib”, dan “yang dapat menerangkan erti bahasa-bahasa itu”. Paulus menitikberatkan bahawa Roh Kudus mengagihkan kurnia-kurnia ini “menurut kehendak-Nya sendiri” (ayat 11). Senarai terakhir Paulus yang dijumpai dalam Efesus 4:11-13, meliputi rasul, nabi, pembawa Berita Baik, guru, dan pemelihara jemaah. Kurnia-kurnia ini adalah mustahak untuk jemaah membina sesama diri dalam iman dan pengetahuan tentang Kristus.
Alyson Kieda