Pada tahun 1925, Langston Hughes yang bercita-cita menjadi seorang penulis, bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel. Dia mendapati bahawa seorang penyair yang dikaguminya (Vachel Lindsey) menginap di hotel itu. Hughes dengan segan menyelitkan puisi yang ditulisnya kepada Lindsey, yang kemudiannya mendapat pujian tinggi daripada Lindsey semasa dia membaca puisi tersebut di hadapan orang ramai. Pujian Lindsey telah memberi galakan dan kesan mendalam kepada Hughes sehingga dia menerima biasiswa di sebuah universiti yang membawa keberhasilan dalam kerjaya penulisannya.
Sedikit galakan dapat membawa kejayaan terutama ketika Tuhan terlibat. Alkitab menceritakan peristiwa ketika Daud melarikan diri daripada Raja Saul yang “bertekad untuk membunuhnya.” Putera Saul, iaitu Yonatan pergi menemui Daud “dan meyakinkan dia bahawa Allah melindungi dia. Yonatan berkata kepadanya, ‘Jangan takut, engkau tidak akan jatuh ke tangan bapaku … engkaulah yang akan menjadi raja Israel’ ” (1 Samuel 23:15–17).
Kata-kata Yonatan memang benar. Daud akan menjadi raja. Kunci untuk galakan berkesan yang ditawarkan oleh Yonatan diperlihatkan dalam ungkapan sederhana “bahawa Allah” (ayat 16). Melalui Yesus, Tuhan “menggalakkan kamu dan menguatkan kamu untuk melakukan dan mengatakan yang baik” (2 Tesalonika 2:16). Ketika kita merendahkan diri di hadapan-Nya, Dia mengangkat kita kerana orang lain tidak dapat melakukannya.
Di sekeliling kita ada orang-orang yang memerlukan galakan Tuhan. Jika kita mencari mereka seperti Yonatan mencari Daud, dan dengan lemah lembut membawa mereka kepada Tuhan melalui kata-kata atau perbuatan baik, Dia akan bertindak selanjutnya. Walau apa pun keadaan hidup ini, masa depan yang cerah dalam kekekalan sedang menanti mereka yang percaya kepada-Nya.