Kevin pergi ke pusat jagaan untuk mengambil barang-barangnya setelah ayahnya meninggal dunia. Kakitangan di situ menyerahkan 2 kotak kecil kepadanya. Menurut Kevin, pada hari itu, dia menyedari bahawa sebenarnya kita tidak perlu ada banyak harta untuk berasa bahagia.

Ayahnya, Larry, seorang periang dengan senyuman pada wajahnya, sentiasa bersedia untuk menggalakkan orang lain. Dasar kebahagiaannya bukan “harta” yang banyak, melainkan iman yang tidak tergoncang dalam Penebusnya, Yesus.

Yesus menggesa kita “kumpulkanlah harta di syurga” (Matius 6:20). Dia tidak mengatakan bahawa kita tidak boleh memiliki rumah atau kereta, menabung untuk masa depan atau memiliki banyak harta. Tetapi Dia menggesa kita untuk meneliti fokus hati kita. Apakah fokus Larry? Dia mengasihi Tuhan dengan mengasihi orang lain. Dia akan pergi ke bilik-bilik aktiviti serta memberi salam dan galakan kepada penghuni lain. Jika ada orang menangis, dia ada di situ dengan kata-kata yang menghiburkan, telinga yang mendengar serta doa yang tulus. Fikirannya tertumpu pada hidup yang memuliakan Tuhan dan membawa kebaikan kepada orang lain.

Kita perlu memeriksa diri sama ada kita berasa gembira dengan perkara yang mungkin mengganggu dan mengalihkan perhatian kita daripada hal-hal yang lebih penting, iaitu mengasihi Tuhan dan orang lain. “Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu” (ayat 21)! Apa yang kita hargai diperlihatkan dalam gaya hidup kita.