John Nash dianugerahkan Hadiah Nobel Ekonomi pada tahun 1994, sebagai pengiktirafan bagi sumbangannya sebagai perintis dalam bidang matematik. Persamaan matematik yang diciptanya sejak itu digunakan untuk memahami dinamik persaingan di dunia perniagaan. Sebuah buku dan filem panjang telah mendokumenkan hidupnya dan menyebut dia mempunyai “minda yang indah”. Ini bukan kerana mindanya memiliki daya tertentu yang estetik, tetapi kerana apa yang dihasilkan oleh mindanya.
Yesaya, nabi Perjanjian Lama menggunakan perkataan indah untuk menggambarkan kaki pembawa berita—bukan kerana sifat fizikal yang kelihatan tetapi kerana dia melihat perkara-perkara indah yang dibawa. “Alangkah indahnya di atas gunung-gunung melihat kaki mereka yang membawa berita baik” (Yesaya 52:7 AVB). Setelah 70 tahun ditawan di Babilonia akibat ketidaksetiaan orang Israel kepada Tuhan, para utusan tiba dengan kata-kata yang menggembirakan bahawa umat Tuhan akan segera pulang kerana “TUHAN … telah menebus Yerusalem” (ayat 9, AVB).
Berita baik itu tiada kaitan dengan kekuatan tentera Israel atau apa-apa usaha manusia. Sebaliknya itu adalah karya “tangan-Nya yang kudus” bagi pihak mereka (ayat 10, TB). Tuhan masih bekerja pada hari ini, kita mendapat kemenangan ke atas musuh rohani kita melalui pengorbanan Kristus untuk kita. Sebagai respons, kita menjadi pembawa berita baik, mengkhabarkan kedamaian, khabar kesukaan dan penyelamatan kepada orang-orang di sekitar kita. Kita turut memiliki kaki indah yang membawa berita baik.