Michelle Grant melatih anak beaver bernama Timber untuk kembali ke alam liar. Ketika Michelle membawa Timber berenang di kolam, makhluk ini akan kembali ke kayaknya untuk mengerekot dan menggosok hidung. Namun, pada suatu pagi, Timber tidak pulang. Michelle mencari-cari di seluruh kolam selama 6 jam. Beberapa minggu kemudian, Michelle menjumpai tengkorak seekor beaver. Michelle menyangka itu Timber, dan mula menangis.
Hati saya berasa pilu teringatkan Michelle dan Timber. Saya berkata kepada diri sendiri, “Cukuplah! Itu hanya seekor tikus akuatik yang besar.” Tetapi sebenarnya saya prihatin, demikian juga Tuhan. Kasih-Nya menjangkau tinggi ke langit dan ke bawah kepada setiap makhluk terkecil, sebahagian daripada ciptaan-Nya, Dia memanggil kita menjaga ciptaan-Nya dengan baik (Kejadian 1:28). Dia menjaga “manusia dan haiwan” (Mazmur 36:7), menyediakan “makanan kepada binatang, dan kepada anak burung gagak” (147:9).
Suatu hari Michelle berkayak di kolam jirannya dan terkejut—Timber ada di sana! Rupanya Timber menjumpai sebuah keluarga beaver dan menolong membesarkan 2 ekor anak keluarga itu. Timber muncul di sebelah kayak Michelle. Michelle pun tersenyum, “Kamu kelihatan baik. Kamu ada keluarga yang indah.” Timber mengeluarkan suara, menepuk-nepuk air dengan ekornya, dan berenang ke arah ibu baharu nya.
Saya suka pengakhiran yang bahagia, terutamanya kisah saya sendiri! Yesus berjanji bahawa sebagaimana Bapa-Nya memberi makan burung-burung, begitu juga Dia akan menyediakan segala yang kita perlukan (Matius 6:25–26). Tiada seekor pun burung pipit jatuh “ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu. … Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” (10:29–31).