Ketika Jen masih muda, guru sekolah Minggunya memberi latihan penginjilan kepada kelas, termasuklah menghafal ayat dan kaedah memberitakan Injil. Dia dan seorang rakannya dengan gementar cuba berkongsi Injil kepada seorang rakan lain, mereka takut jika mereka akan melupakan ayat atau langkah yang penting. Jen tidak ingat jika ada orang percaya kepada Tuhan pada malam itu, tetapi hal itu tidak terjadi. Pendekatan tersebut nampaknya lebih mementingkan kaedah penginjilan, dan bukan orang yang diinjili.
Sekarang, setelah bertahun-tahun kemudian, Jen dan suaminya memberi contoh kepada anak-anak mereka untuk mengasihi Tuhan serta berkongsi iman mereka dengan cara yang lebih menarik. Mereka memahami pentingnya mengajar anak-anak mereka tentang Tuhan, Alkitab, dan hubungan peribadi dengan Yesus, tetapi mereka melakukannya melalui kehidupan dan teladan setiap hari dengan mengasihi Tuhan dan Alkitab. Mereka menunjukkan apa ertinya menjadi “cahaya bagi dunia” (Matius 5:14) dan menjangkau orang lain melalui kebaikan dan kata-kata ramah. Jen berkata, “Kita tidak boleh menyalurkan harapan tentang kehidupan sejati kepada orang lain jika kita sendiri tidak memilikinya.” Ketika dia dan suaminya menunjukkan kebaikan dalam gaya hidup mereka sendiri, mereka mempersiapkan anak-anak mereka “untuk mengundang orang lain percaya kepada Yesus.”
Kita tidak memerlukan formula untuk memimpin orang lain percaya kepada Yesus, yang paling penting, kasih Tuhan dalam kita bersinar melalui kita. Apabila kita hidup dan berkongsi kasih-Nya, Tuhan menarik orang lain untuk mengenal Dia.
ILHAM
Di dunia kuno, kerana tiada peti sejuk, garam adalah biasa digunakan untuk mengawetkan makanan dan mencegahnya daripada menjadi rosak. Apabila Yesus berkata bahawa para pengikut-Nya “bagaikan garam dunia” (Matius 5:13), Dia sedang memanggil mereka berdiri teguh sebagai halangan terhadap kerosakan yang tidak dapat dielakkan dalam masyarakat.Garam pada zaman Yesus biasanya tidak tulen—datang daripada kawasan paya garam yang merosakkan banyak kandungan mineral garam yang penting. Apabila ketidaktulenan itu mencemarkan garam yang digunakan dalam pengawetan, garam itu gagal melaksanakan peranannya dan daging itu akan menjadi rosak. Cabaran Yesus kepada para pendengar-Nya adalah mengelakkan ketidaktulenan yang sama ketika mereka ditugaskan untuk menghalang mereka berkompromi dengan kebiasaan dunia di sekeliling mereka.
Penghuraian Kristus bagi para pengikut-Nya yang setia dalam Khutbah Di atas Bukit sekalipun mencabar orang percaya hari ini untuk hidup menentang budaya dunia ini, menghindari kejahatan dunia dan menjalani kehidupan yang suci dan beriman.