Kaisar Augustus (63 SM–14 M), iaitu maharaja Roma yang pertama, ingin dikenali sebagai penguasa undang-undang. Walaupun dia membangun empayarnya dengan perhambaan, penaklukan tentera dan rasuah, dia memulihkan proses undang-undang yang sah dan memperkenalkan Iustitia kepada rakyatnya, yang disebut Dewi Keadilan pada hari ini. Dia juga mengarahkan banci yang membawa Maria dan Yusuf kembali ke Betlehem untuk kelahiran seorang penguasa yang sudah lama ditunggu-tunggu, dan kebesarannya akan sampai ke hujung bumi (Mikha 5:2-4).

Apa yang tidak dapat dijangkakan oleh Augustus atau seluruh dunia ialah, bagaimana Raja yang jauh lebih besar itu akan hidup dan mati untuk menunjukkan keadilan yang sebenar. Berabad-abad sebelumnya, pada zaman nabi Mikha, umat Tuhan sekali lagi terjerumus dalam budaya pembohongan, kekerasan, dan “harta yang diperoleh dengan tipu daya” (6:10–12). Bangsa yang sangat dikasihi Tuhan telah melupakan Dia. Dia rindu agar mereka menunjukkan kepada dunia apa yang dimaksudkan dengan berlaku adil terhadap satu sama lain dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan-Nya (ayat 8).

Seorang Raja yang menjadi hamba diperlukan untuk menegakkan keadilan yang dirindukan oleh orang-orang yang terluka, dilupakan dan tidak berdaya. Nubuat nabi Mikha hanya dapat digenapi dalam Yesus melalui hubungan benar antara Tuhan dan manusia secara peribadi. Segala ini tidak terjadi dalam penguatkuasaan undang-undang yang ditetapkan manusia seperti Kaisar, tetapi melalui belas kasihan, kebaikan, dan roh Raja kita, Yesus yang menjadi hamba.