Seorang juruterbang tidak dapat meletakkan cawannya ke dalam pemegang cawan, jadi dia meletakkannya di konsol tengah (bahagian kawalan sistem). Ketika pesawat mengalami keadaan gelora di udara, minuman itu tertumpah ke panel kawalan lalu mematikan enjin. Penerbangan dilencongkan dan mendarat dengan selamat, tetapi ketika hal ini berlaku lagi kepada kru dari syarikat penerbangan yang lain 2 bulan kemudian, pengilang menyedari masalah ini. Pesawat berharga 300 juta dolar Amerika Syarikat, tetapi pemegang cawannya terlalu kecil. Kelalaian yang kelihatan kecil ini mengakibatkan beberapa detik peristiwa yang mengerikan.
Perincian kecil dapat menghancurkan rancangan terbesar, jadi lelaki dalam Kidung Agung menggesa kekasihnya agar menangkap “rubah yang merosakkan ladang anggur” ibarat cinta mereka (2:15). Dia melihat rubah memanjat dinding dan menggali kebun anggur untuk mencari buah anggur. Rubah itu sukar ditangkap kerana binatang ini meluru masuk ke kebun anggur kemudian menghilang pada waktu malam. Tetapi rubah tidak boleh dibiarkan.
Apakah yang mengancam hubungan anda dengan orang yang paling rapat? Mungkin ia bukan ancaman besar. Mungkin rubah kecil adalah seperti komen-komen kecil yang menggali akar cinta anda. Apabila perkara kecil yang menyinggung perasaan semakin bertambah, persahabatan akrab atau perkahwinan yang penuh kasih mungkin terjebak dalam bahaya yang menjejaskan hubungan.
Semoga Tuhan menolong kita menangkap rubah-rubah kecil! Marilah kita meminta dan memberi pengampunan jika diperlukan serta menyuburkan kebun anggur kita dengan sikap bertimbang rasa, kerana Tuhan menyediakan apa yang kita perlukan.
ILHAM
Kitab Kidung Agung merupakan satu himpunan puisi cinta yang meraikan danmemberi amaran mengenai kasih, terutamanya keintiman secara fizikal. Sesetengah orang melihat kitab itu sebagai satu himpunan puisi yang menyatakan hasrat yang mengekalkan tujuan asal Tuhan menciptakan kita —hasrat yang telah ditemukan dalam hubungan perkahwinan “dua tubuh menjadi satu” yang dimulakan di taman Eden.Tetapi Kidung Agung mungkin juga menyebut mengenai Tuhan dan hubungan kita dengan-Nya, terutamanya apabila kita membacanya dalam konteks seluruh Alkitab, kita akan kerap membaca perbandingan yang dibuat antara hubungan kita dengan Tuhan dan perkahwinan manusia.