Keluarga kami merancang untuk memelihara seekor anak anjing, jadi anak perempuan saya yang berusia 11 tahun mencari maklumat tentang anjing selama berbulan-bulan. Dia tahu apa yang harus dimakan oleh anjing dan bagaimana membuat anjing itu biasa dengan rumah baharu kami, termasuklah perincian yang lain.

Anak saya memberitahu, anak-anak anjing dapat menyesuaikan diri dengan baik jika ditempatkan secara tetap di dalam satu bilik. Oleh itu, kami menyediakan sebuah bilik khas untuk tujuan ini. Saya pasti ada banyak perkara yang tidak disangka sementara kami membesarkan anak anjing itu kelak, tetapi persiapan yang dibuat anak perempuan saya dengan gembira ini adalah sangat cukup.

Cara anak perempuan saya menunjukkan ketidaksabarannya sementara menunggu ketibaan anak anjing tersebut dengan persiapan yang penuh kasih mengingatkan saya tentang kerinduan Kristus untuk berkongsi kehidupan dengan umat-Nya serta berjanji untuk menyediakan rumah bagi mereka. Menjelang penghujung pelayanan-Nya di dunia, Yesus menggesa para pengikut-Nya percaya kepada-Nya sambil berkata, “Percayalah kepada Allah dan percayalah kepada-Ku juga” (Yohanes 14:1). Kemudian Dia berjanji untuk “menyediakan tempat untuk kamu … supaya kamu tinggal di tempat [Dia] tinggal” (ayat 3).

Para pengikut akan segera menghadapi cabaran. Tetapi Yesus mahu mereka mengetahuinya bahawa Dia sedang bekerja untuk membawa mereka pulang kepada-Nya.

Saya sangat gembira dengan usaha anak perempuan saya yang membuat persiapan sebaik mungkin untuk anak anjing kami. Tetapi saya hanya boleh membayangkan betapa sukacitanya Penyelamat kita apabila Dia membuat persiapan yang terperinci bagi setiap umat-Nya untuk berkongsi kehidupan kekal bersama dengan Dia (ayat 2).