Dalam buku Martin Handford, Where’s Waldo? (Di manakah Waldo?), iaitu siri buku teka-teki kanak-kanak yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1987, watak yang sukar dicari itu memakai kemeja berjalur merah dan putih, sarung kaki dan topi yang sepadan, jeans biru, but perang dan cermin mata. Handford dengan bijak menyembunyikan Waldo dalam ilustrasi yang sibuk dan memaparkan ramai watak di pelbagai lokasi di seluruh dunia. Waldo selalunya sukar dilihat, tetapi perekanya menjanjikan pembaca akan sentiasa dapat mencarinya. Walaupun mencari Tuhan sebenarnya tidak seperti mencari Waldo dalam buku teka-teki, Pencipta kita berjanji kita juga dapat menemui-Nya.
Melalui nabi Yeremia, Tuhan memerintahkan umat-Nya bagaimana hidup sebagai orang asing dalam pembuangan (Yeremia 29:4-9). Dia berjanji untuk melindungi mereka sehingga Dia membawa mereka pulang sesuai dengan rancangan sempurna-Nya (ayat 10-11). Tuhan meyakinkan orang Israel bahawa janji-Nya akan digenapi, dan ini akan memperdalam komitmen mereka untuk berseru kepada Tuhan dalam doa (ayat 12).
Hari ini, walaupun Tuhan telah menyatakan diri-Nya melalui kisah Yesus dan Roh Kudus, perhatian kita masih mudah dialihkan oleh kesibukan dunia ini. Kita bahkan mungkin tergoda untuk bertanya, “Di manakah Tuhan?” Tetapi Pencipta dan Pemelihara segala sesuatu menyatakan bahawa mereka yang menjadi milik-Nya akan selalu menemui-Nya jika mereka mencari-Nya dengan sepenuh hati (ayat 13–14).